Tempatan

Tak Mampu Baharui Lesen, 50,000 Kontraktor Melayu Gulung Tikar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KOTA BHARU, 02 Julai 2022 – Hampir 50,000 kontraktor Melayu Gred G1 hingga G4 diibaratkan ‘gulung tikar’ apabila terpaksa menutup perniagaan mereka kerana tidak mampu memperbaharui lesen di atas pelbagai faktor terutamanya disebabkan kenaikan harga bahan binaan dan situasi pandemik COVID-19 sejak 2018 sehingga ke hari ini.

Timbalan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berpandangan, antara faktor yang menyumbang kepada masalah tersebut adalah modal yang tidak mencukupi dan kekurangan projek susulan daripada pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia beberapa tahun kebelakangan ini.

“Di Malaysia, seramai 126,000 kontraktor sama ada yang berdaftar dan tidak berdaftar. Daripada jumlah itu, hampir 50,000 kontraktor tidak dapat memperbaharui lesen atas pelbagai kekangan terutama kos bahan binaan yang semakin meningkat.”

“Keadaan ini lebih terkesan apabila mereka yang tidak mampu memperbaharui lesen namun pada masa sama terpaksa menanggung hutang,” ujar Timbalan PKMM itu selepas menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PKMM Kelantan kali ke-45 yang dirasmikan oleh Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri, Shahril Sufian Hamdan.

Mengulas lanjut mengenai isu ini, Datuk Mohd Rosdi berkata, Kerajaan perlu memikirkan pelan pemulihan bagi membantu kontraktor yang berdepan dengan masalah ini.

“Jika dahulu, Kerajaan ada tabung pemulihan usahawan dan ia boleh membantu mereka yang berpotensi namun kehabisan modal.”

“Setiap modal yang diperlukan untuk memperbaharui lesen bergantung kepada gred kontraktor masing-masing.”

“Saya yakin kumpulan kontraktor ini tidak mampu memceburi bidang lain memandangkan perkara utama yang perlu difikirkan adalah faktor modal.”

Beliau yang berharap agar Kerajaan sentiasa melakukan pemantauan berhubung kenaikan mendadak kos bahan binaan turut memaklumkan bahawa jika bahan binaan meningkat naik, ia masih boleh diterima namun sekiranya ia sentiasa berlaku sehingga mencecah 30 peratus, beliau beranggapan mungkin pihak tertentu cuba mengambil kesempatan.

“Justeru, Kerajaan perlu mengadakan perjumpaan dengan pengeluar untuk melihat faktor sebenar berlaku peningkatan harga barang ini,” kata Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz yang juga merupakan Yang Dipertua PKMM di negeri Kelantan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: