Daun Ketupat Pula Naik Harga
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
MELAKA, 23 April 2022 – Pembekal Indonesia menaikkan harga bagi daun kelapa muda untuk menganyam ketupat nasi yang sekaligus menjadikan harga daun tersebut meningkat sekali ganda untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
Menurut pemborong bernama Hasan Loyot, syarikat Indonesia menetapkan harga dari RM25 kepada RM35 seikat yang berjumlah kira-kira 400 helai daun.
Katanya, kenaikan harga dari syarikat Indonesia itu tidak dapat dielak disebabkan oleh kos sewa kapal, upah dan kos lain yang juga meningkat.
Tambahnya lagi, bagi mendapatkan bekalan daun tersebut, beliau terpaksa bergantung dari negara jiran berikutan kesukaran bagi mendapatkan pembekal tempatan yang mampu membekalkan daun itu dalam kapasiti besar.
“Saya menerima permintaan yang tinggi daripada peniaga dan penjual ketupat nasi bagi perayaan Aidilfitri tahun ini.”
“Tidak sama seperti tahun lalu, kebiasaannya saya menempah antara 600 hingga 800 ikat daun kelapa muda, namun, kali ini saya tempah sebanyak 1,000 ikat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Hasan juga mengatakan bahawa bekalan daun itu bakal tidak mencukupi berikutan negara jiran mengalami hujan yang kerap.
Berikutan itu, sekiranya harga borong naik, ia sekaligus akan menyebabkan harga daun tersebut daripada RM12 kepada RM15 seikat yag berjumlah kira-kira 100 helai.
Seorang pengusaha ketupat nasi, Mohd Yusri Mahat turut menyuarakan kebimbangannya sekiranya bekalan daun kelapa muda tidak mencukupi untuk Syawal ini.
“Saya juga diberitahu harga bahan pula dijangka naik sekali ganda. Apa boleh buat, semua barang naik harga dan saya tidak terkejut daun ketupat pun harganya naik,” jelasnya.