Tempatan

Peniaga Jangan Ambil Kesempatan, Turunkan Harga Makanan Seiring Harga Barang

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 06 Ogos 2022 – Peniaga terutamanya penjual makanan digesa untuk menurunkan harga jualan dan diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan dengan terus menaikkan harga susulan kenaikan harga barangan yang bersifat sementara itu, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihas Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa.

Ujar beliau, sebelum ini penjual terpaksa menaikkan harga jualan mereka disebabkan kenaikan harga barangan seperti ayam yang ketika ini telah kembali rendah dan stabil.

“Laporan yang dibentangkan hari ini, membuktikan harga ayam dalam pasaran seluruh negara telah berada di tahap lebih rendah daripada harga siling dan lebih rendah berbanding ketika harga naik melonjak.”

“Data menunjukkan harga makanan berkaitan ayam telah dinaikkan dengan agak tinggi. Apakah mungkin bagi peniaga yang berkaitan untuk turunkan semula harga setimpal dengan harga ayam,” kata beliau sewaktu mempengerusikan mesyuarat pasukan khas itu kelmarin di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Apabila disoal mengenai adakah terdapat tindakan yang bakal dikenakan buat peniaga yang terus menjual makanan dengan harga tinggi, beliau menjawab dengan mengatakan tidak semua perkara boleh menggunakan penguatkuasaan undang-undang khususnya bagi barangan yang bukan dalam senarai barangan kawalan.

Katanya, ia menjadi tanggungjawab peniaga untuk berusaha dan bersedia menurunkan harga jualan mereka kerana pihak Kerajaan telah mengeluarkan belanja yang besar bagi menurunkan harga barang.

“Kita minta pemain industri cubalah turunkan harga mereka dan kita buat secara rundingan serta seruan terbuka seperti ini. Ada perkara perlukan punca kuasa undang-undang, ada perkara perlukan kebertanggungjawaban pengguna dan penjual.”

Mengulas lanjut, biarpun kedudukan inflasi negara ini masih di tahap yang rendah, namun kenaikan harga barangan dan perkhidmatan terutama makanan menjejaskan mereka yang berpendapatan rendah.

Justeru, pihak Kerajaan berharap agar tiada pihak yang mengambil kesempatan, mencatut harga mahupun mengambil untung secara melampau dalam situasi sedemikian dan pihak Kerajaan juga akan terus berusaha memastikan harga barangan utama terus terkawal.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: