Antarabangsa

Harga Ayam Akan Mahal Macam Daging – Steve Murrels

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

UNITED KINGDOM, 05 Mei 2022 – Harga daging ayam akan menjadi lebih mahal atau sama dengan harga daging lembu, kata Steve Murrels, CEO Supermarkets Co-op di UK.

Ini disebabkan oleh kenaikan mendadak harga makanan ayam – yang merupakan kos terbesar dalam penternakan ayam.

Bukan itu sahaja, perang Rusia-Ukraine memburukkan lagi keadaan tersebut.

Lapor The Independent, Persatuan Pengeluar Telur British memaklumkan, kos makanan ayam telah meningkat sebanyak 50 peratus sejak dua tahun lepas, dan lebih banyak kenaikan harga dijangka disebabkan perang Rusia-Ukraine serta peningkatan kos bahan api dan tenaga.

Makanan untuk ayam biasanya terdiri daripada soya, bunga matahari dan gandum.

“Pelanggan perlu membuat keputusan yang teliti dan kreatif dalam membeli daging ayam,” kata Steve.

“Mereka akan membeli seekor ayam, memanggang dan memakannya pada hari Ahad kemudian mereka akan menggunakan rangkanya dan apa sahaja untuk membuat sup.”

“Pelanggan akan mencari cara kreatif untuk membuat makanan tahan lebih lama,” ujar bekas pengurus kanan di Tesco dan Sainsbury’s itu lagi.

Mac lalu, 2 Sisters Food Group, yang mempunyai kemudahan pemprosesan ayam di UK dan Eropah menyatakan bahawa kos input dalam pengeluaran ayam telah meningkat sebanyak 50 peratus dalam tempoh 12 bulan yang lalu dan krisis pertanian di Ukraine boleh mempunyai “kesan besar-besaran untuk penawaran komoditi global”.

Terdahulu, The Times memberi amaran bahawa dunia bakal berdepan dengan kebuluran dan kenaikan harga barang yang melampau sekiranya para petani di kawasan Eropah Timur gagal mendapatkan bahan api untuk musim bertani mereka dalam masa terdekat.

“Para petani di Ukraine, pengeluar utama bijiran di Eropah, telah kehabisan bahan api. Rantaian makanan terganggu susulan perang Rusia-Ukraine dan kekurangan bahan api yang kritikal untuk traktor dan trak mendorong sektor pertanian Ukraine ke arah keruntuhan.”

Tambah portal itu, jika Ukraine gagal mendapatkan diesel secepat mungkin, Eropah bakal berdepan dengan kenaikan harga barang yang sangat melampau untuk komoditi-komoditi pertanian selain berdepan dengan kekurangan makanan yang mencabar.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: