Tempatan

Nasi Kandar Bakal Naik Harga

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 01 Julai 2022 – Pengusaha restoran nasi kandar didakwa terpaksa menaikkan harga bagi nasi kandar mereka berikutan pemansuhan subsidi minyak masak botol, pengenalan harga siling ayam yang baharu serta kenaikan harga bahan mentah yang lain bagi memastikan perniagaan mereka terus ‘bernyawa’.

“Harga barang semua dah naik. Mahu tak mahu kami pun terpaksa jugalah naikkan harga,” kata Naib Presiden Persatuan Pengusaha Restoran India Muslim Malaysia (PRESMA), Abdul Mukthahir M Ibrahim seperti dilaporkan The Malaysian Insight.

Menurutnya, harga nasi kandar berkenaan mungkin akan meningkat antara RM0.50 hingga RM1 dan bergantung kepada lokasi restoran.

“Kenaikan ini juga bergantung pada lokasi restoran. Kalau di Bangsar, Kuala Lumpur, harga mungkin naik sekitar RM1 sebab sewa di sana lebih mahal, tetapi kalau di Tanjung Malim di Perak mungkin naik RM0.50,” ujarnya.

Katanya, mereka tiada pilihan selain menaikkan harga susulan daripada harga bahan mentah yang turut meningkat naik.

“Kami guna banyak rempah dalam masakan dan harganya naik dua ke tiga kali ganda.”

“Jadi, mahu tak mahu kami terpaksa juga naikan harga jualan,” jelasnya.

Bukan itu sahaja, katanya kenaikan harga makanan itu turut dipengaruhi oleh pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang perlu dibayar oleh pihak majikan kepada kakitangannya.

“Kami tidak mahu mengurangkan kuantiti atau kualiti makanan kami dan pada masa sama kami perlu membayar sewa dan gaji kakitangan.”

Pengarah Restoran, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim memaklumkan bahawa kenaikan harga nasi kandar itu turut dipengaruhi faktor lain.

“Orang ramai perlu faham bahawa restoran pra-COVID-19 beroperasi sepanjang masa tetapi kini kebanyakan restoran ditutup pada pukul 2 pagi.”

“Kami tutup awal kerana tiada pelanggan tetapi tidak kira pukul berapa pun tutup, sewa, gaji pekerja masih sama,” katanya.

Justeru, Abdul Mukthahir menggesa pihak Kerajaan agar terus menjaga kebajikan rakyat dan memantau harga barangan serta meneruskan subsidi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: