Tempatan

Harga Barang Dijangka Naik Selepas Tahun Baru Cina – DPMM

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 24 Januari 2022 – Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Abd. Halim Husin menjangkakan semua barang tanpa mengira jenis akan mengalami kenaikan harga luar biasa selepas sambutan Tahun Baharu Cina bulan depan.

“Kami jangkakan, selepas perayaan Tahun Baharu Cina ini, kenaikan harga barangan yang luar biasa jika tiada usaha bagi membendungnya,” kata beliau seperti menurut laporan Utusan.

Kenaikan harga barangan itu didorong oleh lonjakan kos pengangkutan lebih sekali ganda selepas bencana banjir khususnya di Lembah Klang pada Disember lalu.

“Kawasan Shah Alam yang teruk terjejas banjir baru-baru ini pula merupakan antara kawasan pengeluar terbesar di Malaysia dan mereka terkesan dengan bencana jadi pengeluaran mereka bermasalah dan pasti akan menaikkan harga selepas situasi banjir.”

Ujarnya lagi, “Jika dahulu kos pengangkutan barangan kontena di pelabuhan hanya RM400 ke RM800, kini meningkat sehingga RM1,800 ke RM2,500.”

“Dengan kenaikan mendadak itu, sudah tentu harga barangan juga akan naik bagi memastikan pengeluar masih mendapat keuntungan daripada penjualan barangan.”

Berikutan itu, beliau berharap kerajaan perlu mengambil tindakan proaktif bagi mengawal harga barangan daripada pengeluar dan pengguna supaya lebih berpatutan.

“Kerajaan perlu tahu kenaikan harga semua barang akan berleluasa sekiranya tiada penguatkuasaan dilaksanakan.”

Rakyat sebelum ini pernah diberi peringatan untuk bersedia berdepan dengan kenaikan harga barang yang dijangka antara 30 hingga 200 peratus menjelang 2022 ekoran fenomena global dan spekulasi peniaga.

Semua barangan keperluan asas dijangka menghadapi kenaikan, terutamanya makanan kerana sehingga kini negara masih bergantung kepada aktiviti import untuk menampung keperluan domestik.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: