Ayam Semakin Mahal, Peniaga & Pemborong Kenakan Caj Sampingan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 09 April 2022 – Para pengguna masih lagi ditekan dengan kenaikan beberapa harga barang basah seiring dengan bertambahnya permintaan pada bulan Ramadan ini.
Antara barang basah utama yang meningkat permintaan dari para pengguna pada ketika ini adalah daging ayam, yang kini kos untuk membelinya turut mengalami peningkatan.
Ini kerana para pengguna terpaksa menyerap kos caj perkhidmatan pengangkutan yang secara tiba-tiba dikenakan oleh pemborong.
Para pengguna juga terpaksa membeli ayam yang harganya melonjak melepasi harga siling RM8.90 di beberapa tempat termasuklah Alor Setar, Kedah kerana secara tiba-tiba terpaksa menanggung caj perkhidmatan pengangkutan yang dikenakan oleh pemborong ke atas para peniaga.
Peniaga ayam di Pasar Besar Alor Setar mengaku terpaksa menjual ayam pada harga RM9.30 sekilogram kerana pemborong telah menaikkan harga, lapor Berita Harian.
“Pemborong mendakwa terpaksa naikkan harga kerana caj perkhidmatan pengangkutan. Kami sebagai peniaga hairan kenapa tiba-tiba ada caj perkhidmatan pada Ramadan kali ini.”
“Ketika Ramadan tahun lalu, harga ayam stabil, tetapi apabila peralihan fasa ke endemik, harga naik pula. Sebelum ini pun pemborong hantar ayam, tetapi tiada caj perkhidmatan. Sekarang ada pula caj, jadi mahu tak mahu saya terpaksa jual pada harga RM9.30 kerana tidak mampu tampung modal,” kata Wan Ahmad Fauzi Wan Ismail, peniaga ayam.
Para pengguna juga terpaksa membayar caj perkhidmatan memotong ayam di beberapa tempat, kerana para peniaga ayam dikatakan tidak mahu menanggung kemerosotan margin keuntungan ekoran kenaikan kos yang ditanggung.
Rahmad, salah seorang peniaga ayam di Alor Gajah, Melaka berkata, beliau terpaksa mengenakan caj 50 sen bagi perkhidmatan memotong ayam ke atas pengguna selepas terdesak disebabkan oleh kos ayam yang kini meningkat mahal ketika ini, lapor Utusan Malaysia.
“Caj khidmat pemotongan ayam dikenakan demi kelangsungan perniagaan. Jika tidak mengambil inisiatif ini, bagaimana saya hendak bertahan kerana pelbagai belanja perlu dibayar seperti sewa, gaji pekerja dan utiliti.”
“Saya beli ayam hidup daripada pemborong pada harga RM6.05 sekilogram, tidak termasuk kos pengangkutan 70 sen. Ayam hidup kemudiannya perlu melalui proses tambahan sebelum dijual kepada pelanggan.”
“Selain itu, pemborong juga licik apabila mereka menunjukkan harga ayam hidup sama seperti harga siling di dalam resit, tetapi memindahkan kos itu kepada caj pengangkutan,” kata beliau.