Kos Haji Swasta Mungkin Capai Sehingga RM60,000 Tahun Depan
KUALA LUMPUR, 07 Julai 2023 – Kos menunaikan ibadah haji menerusi syarikat pengendali swasta mungkin mencecah sehingga RM60,000 pada tahun hadapan, kata Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham.
Jelasnya, kenaikan kos itu dipengaruhi keadaan semasa yang berlaku pada tahun ini.
“Kos haji sekarang mahal, kita sekarang bayar sistem mujamalah pun sudah ambil 12,000 riyal yang bersamaan hampir RM15,000. Jadi dengan tiket, penginapan dan sebagainya memang kos jadi RM30,000 ke RM40,000.”
BACA JUGA: Sweden Pertimbang Haramkan Pembakaran Al-Quran
BACA JUGA: Rentetan Kes Cekik Adik Sendiri, Pihak Sekolah Digesa Tidak Sembunyikan Kes Buli
BACA JUGA: Suruhanjaya Reid Tetapkan Hanya Bahasa Melayu Satu-Satunya Bahasa Rasmi Selepas 10 Tahun Merdeka
Tambah Razali, sekiranya jemaah ingin menunaikan ibadah tersebut mengikut Lembaga Tabung Haji (TH), mereka sudah senang kerana tak perlu membayar mujamalah dan tak perlu visa. Jadi sudah jimat RM15,000 dan kos dianggarkan sekitar RM30,000.
Namun, menurutnya, “Ini berbeza sekiranya jemaah ingin menunaikan haji dengan mengikut swasta, ia boleh mencecah sampai RM60,000.”
Razali juga mendedahkan, secara purata jemaah harus menanggung peningkatan kos haji sebanyak RM3,000 setiap tahun dan hal ini dibimbangi terus meningkat ekoran faktor ekonomi dan nilai mata wang negara.
Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata kos dijangka naik kira-kira enam hingga 10 peratus secara keseluruhan malah ia tidak boleh dihalang kerana kebanyakan kos dikawal oleh kuasa luar negara.
“Peningkatan kos memang tak boleh dielak, ini dihadapi oleh seluruh dunia. Cuma kita perlu berusaha meningkatkan pendapatan sebab jika kemampuan meningkat maka dengan mudah boleh mengatasi kenaikan kos.”
Beliau turut mencadangkan agar negara memulakan skim wakaf bagi memudahkan bakal jemaah menunaikan ibadah tanpa rasa tertekan dengan kenaikan kos.