380 Jemaah Haji Terkandas, Ditipu Visa Furada
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SEPANG, 08 Julai 2022 – Tular di media sosial sejak semalam mengenai kira-kira 380 orang bakal jemaah haji terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan, visa furada.
Mangsa dikatakan tidak menggunakan Lembaga Tabung Haji (TH) tetapi memilih visa furada, iaitu visa yang diuruskan sendiri dan dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh TH.
Sebelum ini, samudera.my melaporkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad yang menasihatkan umat Islam agar lebih berhati-hati dan teliti sebelum menerima mana-mana khidmat tawaran visa furada bagi menunaikan ibadah haji kerana dikhuatiri menjadi mangsa penipuan pihak yang tidak bertanggungjawab.
Dalam pada itu, Free Malaysia Today mengeluarkan kenyataan seorang jemaah yang mahu dikenali sebagai Adi yang menyatakan, agensi pelancongan meminta semua jemaah bawah kendaliannya datang ke KLIA kerana penerbangan dijangka berlepas pada 4:30 petang semalam, namun kemudiannya dimaklumkan bahawa penerbangan telah ditangguh ke 7:00 malam.
“Semakan kami mendapati penerbangan terakhir ke Jeddah, Arab Saudi adalah pada kira-kira 6 petang tadi (semalam) dan sehingga saat ini, kami tidak dimaklumkan apa-apa oleh wakil agensi pelancongan,” ujar beliau yang turut memaklumkan mengenai perancangan awal, di mana mereka sepatutnya ke Jeddah pada Selasa lepas, namun ditangguhkan atas alasan ada dokumen yang masih tidak lengkap.
Beliau memberitahu, bakal jemaah juga tidak pernah ditunjukkan tiket penerbangan dan visa untuk menunaikan haji.
Tambah seorang jemaah lain yang dikenali sebagai Jamilah, 59 tahun, beliau reda dengan apa yang berlaku, sambil menyifatkan ia sebagai ujian daripada Allah.
“Sehingga ke saat ini kami masih tidak mendapat kembali pasport kerana masih dipegang oleh pihak agensi pelancongan,” ujar beliau yang datang jauh dari Terengganu dan telah mengeluarkan duit sebanyak RM76,000 kepada agensi pelancongan tersebut bagi menunaikan haji bersama suaminya.
Beliau berkata, kakitangan agensi pelancongan itu ada hadir bertemu dengan kumpulan terbabit namun mereka tidak mendapat penjelasan sebenar mengenai masalah itu.
“Kami meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada mereka namun tak sangka kami juga menjadi mangsa penipuan.”