Peminat Kritik Ibadah Haji Aamir Khan Ritual Bodoh
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
INDIA, 05 Ogos 2022 – Pengguna laman sosial Twitter mengkritik tindakan pengarah filem dan pelakon Bollywood, Aamir Khan yang pergi menunaikan ibadah haji dengan mendakwa ibadah tersebut adalah ritual bodoh.
Salah seorangnya adalah @virtualkrsna di mana dalam hantarannya dia menyebut secara spesifik bahawa rukun wajib dalam ibadah haji iaitu melontar jamrah untuk merejam iblis itu sebagai ritual bodoh.
“Lelaki yang mengembara sejauh 1,000 batu dalam pesawat kelas perniagaan, membakar bertan-tan bahan api fosil, menghabiskan berjuta-juta rupee hanya untuk melakukan ritual bodoh mengumpul batu dan membaling ke dinding menganggap menawarkan susu 10Rs untuk Shivling adalah satu pembaziran.”
Selain itu, beberapa pengguna akaun Twitter dilihat turut mengkritik rukun ibadah haji yang dilakukan oleh Aamir Khan tersebut, antaranya adalah pemilik akaun @shreyash_V_ dan @Thakursaabup65.
Kontroversi ini dipercayai tercetus susulan tersebarnya dakwaan bahawa Aamir Khan atau nama sebenarnya Mohammed Aamir Hussain Khan mengajak penganut Hindu berhenti melakukan ritual Hindu mereka kerana ianya tidak memberi manfaat.
“Mencurah susu pada Shiv Ling adalah perbuatan yang tidak bermanfaat, wang itu boleh memberi makan kanak-kanak miskin.”
Kenyataan tersebut telah membangkitkan kemarahan pengguna laman sosial Twitter sehingga trending tanda pagar #AamirKhan di aplikasi tersebut.
Isu tersebut semakin hangat diperkatakan sehingga kini susulan filem terbaru lakonan Aamir Khan dan Kareena Kapoor Khan berjudul ‘LalSinghChaddha’ bakal ditayangkan di pawagam 11 Ogos ini dan satu siri pemboikotan dilakukan dengan tanda pagar #BoycottLalSinghChaddha oleh pengguna laman sosial.
Meninjau ke laman Instagram @aamirkhanproductions, rata-rata pengguna laman sosial juga memberikan komen mahu memboikot Aamir Khan dan filem terbarunya itu.