Tempatan

Kenyataan Media TV Pertiwi Berhubung Laman Web Disekat

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

17 Ogos 2023 adalah salah satu detik hitam dalam sejarah pentadbiran kerajaan madani apabila laungan kebebasan media dan kebebasan bersuara hanya diguna pakai dalam situasi yang berpihak kepada pihak kerajaan.

Pihak TV Pertiwi amat kesal dan kecewa dengan tindakan kerajaan menyekat akses ke laman web tvpertiwi.com.my pada hari ini.

Sehingga jam 6.30 petang, TV Pertiwi tidak diberi sebarang notis berhubung sekatan yang tidak bertanggungjawab ini.

Semakan TV Pertiwi menerusi hasil ping ke alamat tvpertiwi.com.my menunjukkan terdapat penyekatan DNS dengan data memaparkan IP Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) : 175.139.142.25

Sekatan terhadap laman web ini dikesan sekurang-kurangnya di dua penyedia perkhidmatan internet (ISP), Maxis dan Unifi.

Sekatan ini adalah sangat tidak wajar dan bercanggah dengan seruan kebebasan media dan kebebasan bersuara yang dilaungkan oleh pihak kerajaan terutamanya parti Pakatan Harapan ketika mereka menjadi pembangkang.

Justeru, TV Pertiwi menggesa pihak kerajaan khususnya Kementerian Komunikasi dan Digital serta SKMM menjelaskan perkara ini selain nyatakan “kesalahan” yang telah dilakukan portal berita ini.

TV Pertiwi selaku sebuah organisasi media bebas sewajarnya diberikan keadilan dan berhak menyiarkan kandungan termasuk mengkritik kerajaan dengan menggunakan hak kebebasan media dan hak kebebasan bersuara.

TV Pertiwi juga berpandangan semua pihak termasuk media bebas menyiarkan apa-apa kandungan berkaitan isu 3R selagi mana tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak dan pihak kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menggunakan Akta Hasutan bagi menyekat kebebasan bersuara dalam isu berkaitan 3R.

Untuk rekod, pada 15 Ogos 2023, akaun TikTok TV Pertiwi juga telah disekat tanpa sebarang penjelasan. Sekatan ini juga menimbulkan persoalan di manakah sikap keterbukaan pihak kerajaan dalam berinteraksi dengan kepelbagaian pandangan berkaitan isu politik dan isu semasa.

TV Pertiwi akan membuat laporan polis berkenaan perkara ini dan akan membuat aduan rasmi kepada pihak SKMM.

Mohd Firdaus bin Salleh Hudin

Ketua Pegawai Operasi TV Pertiwi

17 Ogos 2023

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: