PERKASA Kecam Keras Tindakan Kerajaan Tarik Balik Rayuan Kes Kalimah Allah
1. Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) mengecam keras atas tindakan kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri ke 10 Dato’ Seri Anwar Ibrahim berikutan tindakan menarik balik rayuan kes kalimah Allah seperti yang dilaporkan oleh portal berita FMT pada hari ini.
2. Tindakan ini dilihat melampau dan biadap kerana Agama Islam merupakan Agama rasmi negara dan ia memperlihatkan seolah-olah mencabar kedudukan Agama Islam. Mengapa perlu kita akur kepada seorang individu penganut Kristian? Jelas dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan menyatakan penganut agama-agama lain masih bebas untuk menganut dan mengamalkan agama mereka. Jadi mengapa masih ingin menyentuh kalimah Allah dan Agama Islam?
3. Soal Agama Islam ini jangan cuba diperkotak katikkan. Apa tidak cukupkah lagi kebebasan bagi menganuti dan mengamal agama lain? Umat Islam di negara ini tidak pernah mempertikaikan dan menyentuh isu agama lain, jadi mengapa tindakan ini dibiarkan berlaku oleh kerajaan Madani ini? Apakah agenda mereka tentang kalimah Allah ini?
4. Kalimah Allah ini wajib dipertahankan oleh mana-mana pihak yang menjadi Kerajaan. Janganlah jadi pengecut serta berlembut dengan mana-mana pihak yang mempersoal perkara yang menyentuh Agama Islam. Sekiranya ia berlaku, maka pimpinan kerajaan Madani GAGAL dalam menjaga dan mempertahankan Agama Islam serta keharmonian masyarakat negara ini.
5. Saya ingatkan semula kebangkitan umat Islam dalam mempertahankan kalimah Allah ini pada 2014 di mana PERKASA berhimpun di luar Mahkamah bagi mendengar dan mengikuti prosiding mahkamah kes kalimah Allah ketika itu. Ianya jelas PERKASA amat konsisten dalam bercakap dan bertindak dalam isu kalimah Allah dari dulu lagi. Kita melihat jika perkara ini dibiarkan terus ia akan membangkitkan kemarahan dan memberi ancaman kepada keharmonian negara.
6. Kita bukan bercakap soal prinsip dan janji yang boleh diputarbelitkan seperti yang berlaku pada hari ini. Ini soal mempertahankan kalimah Allah. Jika bukan kita pertahankan di mana kita meletakkan syahadah dalam diri kita yang mengaku beriman kepada Allah SWT?
7. Jika kerajaan Madani takut dan lemah dalam mempertahankan kalimah Allah ini dengan alasan menjaga keharmonian dan sebagainya saya nasihatkan kepada mereka untuk berundur dan meletakkan jawatan mereka kerana perkara penting seperti ini gagal dipertahankan.
8. PERKASA membantah keras jika tindakan ini tetap diteruskan. Janganlah kita bermain dengan mempertikaikan tentang kalimah Allah dan Agama Islam. Jangan sampai Allah turunkan bala yang berat kerana Allah Maha Berkuasa dalam alam ini.
9. PERKASA akan terus bertindak mempertahankan kalimah Allah dalam apa jua keadaan. Jangan cuba mencabar kalimah Allah dan Agama Islam. Jangan cuba bermain api nanti akan membakar diri.
10) Apakah Perdana Menteri tidak mengambil berat berkenaan hal ehwal orang Islam demi mahu kekal berkuasa?
Irwan Fahmi Ideris
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA)
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my