Tempatan

Kerajaan Seolah-Olah Sapu Isu Kalimah Allah Ke Bawah Karpet – Haniff Khatri Abdulla

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 23 Mei 2023 – “Kerajaan seolah-olah cuba menyapu isu Kalimah Allah ini di bawah karpet, sedangkan itu bukan cara tadbir urus negara yang betul dan tepat.”

Sebaliknya, tindakan itu cuma akan menangguhkan permasalahan ke masa hadapan,” ujar Peguam Senior, Haniff Khatri Abdulla.

Jelasnya, banyak perkara dan banyak persoalan yang perlu dikaji dan dilihat untuk pihak Kerajaan Persekutuan yang memanggil diri mereka sebagai Kerajaan Madani untuk menjawab.

“Selagi mereka tidak jawab selagi itu hak orang awam untuk tuntut mereka menjawab,” katanya.

Ditanya, masih bolehkah pembatalan itu ditarik balik atau tidak, kalau boleh, prosedurnya bagaimana? Kalau tidak boleh, apa lagi yang boleh dan perlu dibuat?

Pertama, dari segi perundangannya apabila notis penarikan semula perundangan telah ditandatangani oleh kedua-dua pihak dan sudah difailkan di Mahkamah, maka secara rasminya notis rayuan itu sudah terbatal.

Yang kedua, persoalan penting di sini adalah, apakah alasan di sebalik arahan Kerajaan Persekutuan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menarik balik rayuan ini. Apakah alasan dan sebabnya.

Yang ketiga, kenapakah tidak ada langsung makluman tentang arahan ini atau penarikan balik notis rayuan ini dimaklumkan kepada orang awam melalui kenyataan media. Ini kerana dokumen notis rayuan menunjukkan ianya telah difailkan pada 18 April 2023 iaitu pada bulan Ramadan sebelum Hari Raya Aidilfitri lalu.

Yang keempat, adakah tiga majlis yang telah diperintahkan pada 19 Januari 2023 untuk menjadi Rakan Mahkamah iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) dimaklumkan terlebih dahulu sebelum keputusan memfailkan Notis Penarikan Balik Rayuan dibuat.

Adakah ketiga-tiga majlis ini sekurang-kurangnya telah pun dihubungi oleh Kerajaan Pusat atau diminta pendapat sebelum rayuan itu diarahkan untuk ditarik balik. Ini kerana, di beberapa negeri termasuk Selangor terdapat undang-undang anti propagation law yang menjadikan penggunaan beberapa perkataan Islam di dalam percetakan agama selain daripada Islam sebagai melanggar undang-undang.

Majlis-majlis ini, sepatutnya diminta pendapat bagaimanakah ianya memberi kesan kepada peruntukan kanun berkenaan, enakmen berkenaan. Maka, sebab itu sepatutnya pendapat mereka diambil sebab mereka di negeri yang melaksanakan isu Islam berkenaan. Ada atau tidak Kerajaan menghubungi mereka untuk mendapatkan pandangan Majlis?” soalnya.

Akhir sekali, untuk pengetahuan semua kes Jill Ireland ini dinamakan sebagai kalimah Allah nombor dua. Kes kalimah Allah nombor satu adalah kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada tahun 2013 di mana keputusannya lain dan dalam keputusan Jill Ireland iaitu kalimah Allah nombor dua ini keputusannya berbeza tetapi keputusan Jill Ireland nombor dua ini adalah keputusan di Mahkamah Tinggi sedangkan kes Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur di Mahkamah Rayuan dan kemudian tidak diberi kebenaran untuk membuat rayuan lanjut oleh Mahkamah Persekutuan.

Kerajaan Sepatutnya Beri Peluang Kepada Mahkamah Selesaikan

Isunya di sini adalah, keadaan ketidaktentuan undang-undang ini sepatutnya diberi peluang kepada Mahkamah untuk selesaikan. Kerajaan apabila menarik balik rayuan maka mereka telah pun tidak membenarkan isu ini diputuskan secara kehakiman dan perundangan.

Jadi, bagaimanakah Kerajaan nak mengendalikan pertikaian atau isu ini sekiranya ianya berbangkit semula?

Katakanlah, ada negeri-negeri lain di mana perkara ini berlaku 2 tahun atau 5 tahun lagi dan ada Majlis Agama Negeri-Negeri berkenaan mengambil tindakan yang sama seperti dalam kes kalimah Allah nombor satu dan kalimah Allah nombor dua maka bagaimana nak selesaikan perkara ini.

Persoalannya, adakah Kerajaan Madani di bawah pimpinan PMX wajib arahkan Peguam Negara menarik balik pembatalan rayuan terhadap kes kalimah Allah di Mahkamah?

Sebenarnya pada saya, tidak ada alasan untuk Kerajaan menarik balik melainkan ada sebab-sebab polisi yang mana mereka perlu perjelaskan kepada rakyat. Kerajaan tidak boleh terus terdiam seribu bahasa seolah-olah tidak ada perkara yang berlaku.

Kenapa Kerajaan nak sembunyikan perkara ini? Memang dari sudut perundangannya Kerajaan Malaysia disaman. Jadi Kerajaan Malaysia boleh mengarahkan peguam mereka ataupun Peguam Negara untuk lakukan apa yang perlu.

Tetapi persoalannya di sini adalah kenapakah Kerajaan Persekutuan hendak arahkan Peguam Negara tarik balik rayuan. Apa sebab dia, mesti ada sebab dari sudut kebaikan negara. Apa kebaikan negara jika ditarik balik perkara ini yang akan menyelesaikan permasalahan ini jika muncul semula.

Perkara inilah yang Kerajaan perlu ceritakan kepada rakyat. Kalau kita boleh terima kebaikannya, maka selesai isu dan masalah seperti ini tidak akan muncul lagi. Tapi kalau tiada jawapan cara penyelesaian adakah Kerajaan Malaysia membenarkan mana-mana agama lain menggunakan kalimah-kalimah Allah dalam percetakan mereka, sila beritahu kepada rakyat kenapa perlu takut.

Biar rakyat tentukan sama ada mereka perlukan Kerajaan seperti itu atau tidak. Ini bukan soal bolehkah mereka arahkan, tapi arahan itu mestilah bertanggungjawab dan arahan yang menyeluruh serta arahan yang menyelesaikan masalah bukan arahan yang menambah masalah.

Kalau arahan itu satu arahan yang jujur dan ikhlas kenapa disembunyikan sedangkan Notis Rayuan telah difailkan pada 18 April 2023 iaitu hampir sebulan yang lalu. Kenapa tidak dimaklumkan kepada rakyat semasa arahan itu dikeluarkan?

Sebagai rakyat, kita bertanggungjawab untuk bertanyakan kepada Kerajaan apa sebab kerajaan menarik balik, ada atau tidak berunding dan minta pendapat Majlis-Majlis Agama berkaitan dengan enakmen-enakmen anti propagation law. Kenapa Kerajaan berdiam diri untuk tempoh hampir sebulan dalam isu yang melibatkan kepentingan Islam dan rakyat majoriti. Semua ini adalah hak rakyat untuk bertanya dan diberitahu.

Rakyat mahu tahu sama ada Kerajaan Madani yang membuat keputusan menarik balik rayuan kes kalimah Allah ini adakah arahan yang jujur, ikhlas dan betul. Kita tidak akan tahu selagi kerajaan tidak menjelaskan keputusan penarikan balik rayuan ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: