Rakyat Sangsi Kerajaan Madani Serius Perjuangkan Islam – Hj Aminuddin Yahaya
KUALA LUMPUR, 17 Mei 2023 – “Kita minta Kerajaan lihat kembali perkara ini dan tarik balik rayuan ini. Teruskan perjuangan ini kalau betul Kerajaan ini serius nak membawa dalam konteks Madani yang sebenarnya ataupun Kerajaan mengambill sikap tak payahlah, tak mahu menimbulkan kontroversi dan sebagainya.”
“Jadi kalau berterusan seperti itu maka rakyat akan semakin sangsi dengan keseriusan Kerajaan Madani untuk memperjuangkan Islam,” tegas Pengerusi Kepimpinan Zaaba (ZIL), Hj Aminuddin Yahaya.
Jelas beliau, kita dikejutkan dengan berita mengenai bagaimana Kerajaan telah menarik balik rayuan terhadap kes kalimah Allah yang telah kita perjuangkan beberapa tahun yang lepas.
Beliau berkata demikian bagi mengkritik akan tindakan Kerajaan Perpaduan dalam mengarahkan Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik rayuan yang telah dibuat bagi membetulkan kembali keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes Jill Ireland dalam kes penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama bukan Islam.
Bagi saya, ini satu tindakan yang sangat mengecewakan dan amat tidak wajar dilakukan oleh pihak Kerajaan memandangkan isu ini isu yang melibatkan agama Islam yang merupakan Agama Persekutuan dan majoriti penduduknya adalah beragama Islam.
Menurutnya, impak kepada isu ini akan menyebabkan kalimah Allah ini akan banyak disalahgunakan nanti dan akhirnya akan menimbulkan kekeliruan kepada rakyat terutamanya generasi muda akan kalimah itu sendiri dan kita tidak menolak kemungkinan mungkin juga akidah umat Islam dalam negara ini.
Tambah beliau, kita tidak pandang kecil isu ini sebaliknya isu ini adalah isu besar dan kita telahpun mengerahkan banyak tenaga dan wang ringgit untuk memperjuangkan dan mempertahankan isu kalimah Allah ini tapi malangnya pihak Kerajaan yang dikatakan memperjuangkan konsep Madani gagal mempertahankan bagi pihak umat Islam.
Jadi persoalan di sini, apa yang dikatakan Madani itu, kalau betul Madani itu membawa hakikat yang sebenarnya yang disebut-sebut sebagai masyarakat yang bertamadun yang maju dan progresif dan sebagainya. Jadi tamadun itu apa, adakah tamadun dalam konteks bangunan-bangunan tanpa ada asas akidah, asas sahsiah dan sebagainya, apa yang hendak dibawa oleh Kerajaan hari ini sebenarnya?
Sedangkan, banyak kali bila PM10 bercakap beliau menekankan soal akhlak, soal integriti dan sebagainya. Macam mana kita nak katakan soal akhlak kalau soal agama, soal akidah itu tidak dipertahankan.
“Saya tidak pasti sejauh mana Kerajaan involve ataupun tahu tentang isu ini. Mungkin PM sendiri tidak mengetahui, mungkin ini hanya tindakan orang bawah-bawah saja. Tetapi bukan itu isunya, isunya di sini bila berlaku sudah tentu pihak Kerajaan harus bertanggungjawab di atas perkara tersebut dan ini bagi saya sangat mengecewakan seluruh umat Islam.”
Mengulas lanjut beliau berkata, takkanlah hanya gerakan-gerakan Islam, NGO-NGO Islam yang merasakan isu kalimah Allah ini sangat besar dan sangat sensitif sebaliknya di mana peranan MP-MP, mana peranan Parti-Parti Islam, Parti-Parti Melayu yang kata mempertahankan Islam dan sebagainya ini, kita tak nampak peranan mereka.
Jelasnya, perkara ini yang kita sangsi dengan pendekatan baru yang dibuat Kerajaan hari ini walaupun kita cuba untuk bersangka baik. Kita cuba untuk memberikan sokongan tetapi saban hari apakah yang berlaku dalam alam realiti ini adalah sebaliknya, baik dalam konteks agama, baik dalam konteks bangsa.
“Apa yang diutarakan dan apa yang diucapkan itu nampaknya macam tak selari dengan apa yang berlaku dalam realiti. Ini yang membimbangkan kita,” ujarnya.
Tambah Hj Aminuddin, ini baru 5 bulan, cuba kita bayangkan kalau 5 tahun. Apakah agama Islam ini dapat terus dipertahankan. Jangankan kata nak diperkasa dan dipertingkatkan nak pertahankan pun nampak gayanya tidak dapat.
Jadi, soal kata kita jangan bimbang yang memerintah Madani adalah orang Melayu Islam dan sebagainya. Ya, dari satu aspek kita setuju tapi pada realiti nampaknya pemimpin ini walaupun pemimpin Islam, orang Melayu walaupun ramai tapi perkara-perkara yang fundamental ini pun tidak dapat kita mempertahankan.
“Kita tidak bercakap soal perundangan Islam dan sebagainya tetapi hanya nak pertahankan kalimah Allah pun kita tidak dapat. Jadi, apakah yang kita boleh harap lagi kebergantungan kita dengan Kerajaan kalau isu ini pun tidak dapat dipertahankan.”
“Sangat jelas, pelbagai pandangan telah kita berikan, pelbagai luahan kita telah buat termasuk demonstrasi, kita telah engage peguam-peguam yang berjuang siang malam mempertahankan perkara ini. Tetapi dengan mudah-mudah Kerajaan menarik balik rayuan, apakah yang kita boleh harapkan lagi dengan Kerajaan yang seperti ini,” kata beliau lagi.