Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 08 Disember 2022 – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Muhyiddin Yassin menyifatkan bahawa kemenangan PN di Parlimen Padang Serai serta kekalahan yang tipis di DUN Tioman telah menunjukkan yang rakyat tidak meyakini kerajaan campuran pada ketika ini. Menurutnya,
“Ini bukti rakyat tidak mempercayai gabungan PH dan BN. Mereka tidak yakin dengan kemampuan kerajaan campuran yang diterajui PH ini untuk mentadbir negara.”
Menerusi hantaran yang dibuat di laman Facebook, beliau turut menyifatkan kemenangan di Parlimen Padang Serai itu sebagai tanda baik buat PN yang mendapat sokongan yang kuat.
Selain itu, Muhyiddin turut menyatakan bahawa penyokong PH dan BN kini telah beralih arah setelah kecewa dengan penipuan pemimpin mereka pada kempen PRU sebelum ini. Ujar beliau,
“Kecewa dengan penipuan pemimpin PH dan BN semasa kempen PRU 15, ramai penyokong kedua-kedua parti ini telah beralih arah menyokong PN,”
Beliau turut menganggap bahawa “penipuan” yang dilakukan oleh BN dan PH di dalam Pilihan Raya Umum ke-15 adalah yang terbesar yang pernah berlaku dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.
Keputusan pilihanraya di Parlimen Padang Serai telah menunjukkan bahawa Perikatan Nasional telah berjaya mendapat dua kali ganda daripada majoriti undi yang sebelum ini dimenangi oleh Pakatan Harapan sewaktu Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.
Calon PN, Datuk Azman Nasrudin telah menang besar dengan majoriti undi sebanyak 16,260 di dalam pertembungan enam penjuru itu.