Manfaatkan Tanah Terbiar Untuk Kelangsungan Bekalan Makanan – Pakar
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SERDANG, 08 Disember 2022 – Krisis bekalan makanan yang berlarutan hampir enam bulan dijangka dapat diatasi dengan baik jika Kerajaan dapat memanfaatkan tanah-tanah terbiar bagi memperbanyakkan pengeluaran sumber makanan dalam negara melalui pertanian.
Pensyarah Pengembangan Pertanian dan Komunikasi, Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Jasmin Arif Shah berkata, Malaysia mempunyai banyak tanah terbiar dan jika ada inisiatif atau tawaran Kerajaan yang menarik, pasti ada kumpulan belia sanggup berjinak dalam sektor pertanian.
“Ini adalah pendekatan yang baik dan mampu menjana pendapatan untuk golongan berpendapatan rendah (B40) atau kumpulan belia yang belum ada kerja.”
“Setiap negeri ada kawasan terbiar yang sesuai untuk pertanian atau ternakan. Kita perlu pendedahan teknologi yang boleh meningkatkan hasilnya.”
Tambah beliau, sudah tiba masanya Kerajaan merangka strategi baru bagi memberi pendidikan dan kesedaran kepada belia untuk menceburi bidang pertanian yang juga mampu memberi pendapatan lumayan.
“Belia ini kalau kita tunjukkan cara bertani atau menternak secara moden dan pulangan yang mampu diraih, mungkin ramai sanggup mengusahakan.”
“Kerana itu, integrasi antara kementerian, pusat-pusat penyelidikan dan pendidikan perlu bergerak seiring supaya proses pengembangan teknologi sampai kepada golongan sasaran,” kata beliau.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Perniagaantani dan Ekonomi Biosumber, Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Norsida Man pula berkata, Kerajaan perlu memastikan wujud situasi ‘menang-menang’ antara pengeluar bekalan makanan dan pengguna.
Menurut beliau, ini bagi memastikan kedua-dua pihak tidak terus terkesan dengan masalah kekurangan bekalan asas.
“Ada kalanya apabila berjuang untuk pengeluar sebab pendapatan mereka rendah sebab harga jualan rendah, pengguna pula terkesan. Kalau berjuang untuk pengguna, pengeluar yang terkesan. Di sini Kerajaan perlu ada skil rundingan menang-menang supaya kata sepakat boleh dicapai,” katanya.