Tempatan

Islam, Keistimewaan Melayu & Pribumi, Bahasa Melayu & Kedudukan Raja-Raja Melayu Adalah Struktur Asas Perlembagaan Malaysia – Haniff Khatri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 23 September 2022 – Ikuti penerangan ringkas oleh Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhubung isu Doktrin Struktur Asas Perlembagaan ataupun dalam bahasa Inggeris disebut Basic Structure Doctrine (BSD) yang sedang hangat diperkatakan akhir-akhir ini.

i. Sebenarnya, Malaysia Sudah Ada Struktur Asas Perlembagaan

Yang saya nak sentuh di sini adalah, pertamanya, Malaysia sebenarnya bagi saya sudah pun mempunyai struktur asas Perlembagaan yang tersendiri iaitu di bawah Perlembagaan dinyatakan bahawa Perlembagaan sebenarnya mempunyai kesemua kandungan dalam Perkara 1 hingga 183 sebagai cabang-cabang dan ranting-ranting dalam urus tadbir negara dan masyarakatnya.

Tidak ada isu tentang perkara tersebut. Kemudian yang keduanya, juga dinyatakan Perlembagaan boleh dipinda melalui sokongan 2/3 majoriti di Dewan Rakyat dan di Dewan Negara sebelum ianya disahkan oleh Kebawah Duli Yang-di Pertuan Agong melalui perkenannya.

Tetapi ada yang lebih penting yang ketiganya, iaitu terdapat empat perkara yang tidak boleh langsung dipinda walaupun oleh Dewan Rakyat atau Dewan Negara dengan sendirinya melainkan jika dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan Kebawah Duli Yang-di Pertuan Agong.

Apakah empat perkara itu? Iaitu, Agama Islam, Bahasa Melayu, Keistimewaan Orang Melayu dan pribumi serta Kedudukan Raja-Raja Melayu.

Jadi empat perkara ini, bagi saya dalam perspektif Perlembagaan Malaysia merupakan struktur asas yang diselamatkan supaya ianya tidak boleh dipinda sewenang-wenangnya seperti mana kita biasanya pinda bahagian-bahagian lain Perlembagaan. Untuk pindaan ini ada proses lanjut iaitu Majlis Raja-Raja kena setuju secara keseluruhannya.

Misalnya, kalau Islam nak digugurkan sebagai Agama Persekutuan maka semua Agong dan Raja-Raja Melayu kena setuju. Kalau mereka tidak setuju jikapun 222 ahli Dewan Rakyat dan kesemua ahli Dewan Negara nak keluarkannya, ia tidak boleh jadi kandungan baru Perlembagaan. Begitu juga dengan Bahasa Melayu, Hak Keistimewaan Orang-orang Melayu dan Kedudukan Raja-Raja Melayu.

Jadi, bukankah itu struktur asas, maka jika ada takrifan-takrifan Mahkamah Persekutuan yang tidak menyentuh keempat-keempat perkara ini sebagai struktur asas, tetapi sebaliknya mencipta pula perkara-perkara lain sebagai struktur asas Perlembagaan, maka bagi saya boleh dikatakan dalam hal-hal keadaan itu Mahkamah dengan khilaf sedang menulis semula Perlembagaan tanpa mengikut proses pindaan yang betul.

ii. BSD Dalam Kes Mahkamah Malaysia

Sejarah ada menunjukkan konsep Basic Structure Doctrine (BSD) ini dibangkitkan dalam hal-hal berkaitan dengan pentakrifan Perlembagaan bertulis yakni di negara-negara yang mempunyai Perlembagaan bertulis seperti India, Malaysia dan sebagainya.

Doktrin ini berpunca daripada keputusan-keputusan Mahkamah tertinggi, Mahkamah Agung di India di mana satu kes pada tahun 1970an kes yang dipanggil Kesavananda di mana keputusan 13 orang hakim, di mana 7 memihak dan enam menentang, majoriti 7/6 telah memutuskan di India wujudnya satu konsep dalam membaca perlembagaan India terdapat beberapa struktur asas yang tidak boleh dipinda oleh mana-mana kerajaan berkaitan perlembagaan India itu. Ini merupakan secara amnya maksud kepada “Basic Structure Doctrine” ini iaitu sekiranya ada apa-apa struktur asas dalam mana-mana Perlembagaan mana-mana negara maka menurut doktrin ini struktur asas itu tidak boleh dibuang ataupun diubah walaupun melalui proses pindaan Perlembagaan yang sedia ada dalam Perlembagaan tersebut.

iii. Malaysia Tiada Mukaddimah Perlembagaan Untuk Tetapkan Struktur-Struktur Asas

Itu adalah secara ringkasnya, tetapi pertama sekali di Malaysia sejak daripada keputusan Mahkamah Agung India tersebut di dalam beberapa kes mahkamah tertinggi iaitu Mahkamah Persekutuan yang kita ada pada masa itu dan kemudiannya Mahkamah Agung dan kemudian diubah balik nama Mahkamah Agung ke Mahkamah Persekutuan, beberapa kali mahkamah tertinggi Malaysia telah diusulkan untuk memakai terima konsep “Basic Structure Doctrine” ini, tetapi pada setiap masa material itu Mahkamah Tertinggi Malaysia tidak menerima doktrin India tersebut atas alasan, bahawa di India sudah ada suatu perihal ataupun “preamble” di peringkat awal Perlembagaan India yang boleh diterima pakai sebagai struktur-struktur asas Perlembagaan.

Di Malaysia kita dikatakan tidak mempunyai “preamble” ataupun kata-kata awalan Perlembagaan yang meletakkan apakah dia struktur asas Perlembagaan Malaysia. Jadi sekiranya kita tidak mempunyai kata-kata tersebut di dalam Perlembagaan bagaimanakah kita nak minta mahkamah pula kenakan ataupun wujudkan apakah dia struktur-struktur yang menjadi struktur-struktur asas dalam Perlembagaan tanpa ianya dipinda dan dimasukkan di dalam Perlembagaan secara bertulis. Jadi itu adalah pegangan mahkamah tertinggi Malaysia sejak daripada tahun 1980an sehingga 4/5 tahun lalu.

iv. Salah Guna Precedent Trilogi Kes-Kes 2018

Dalam tahun 2018, terdapat beberapa keputusan awal yang dipanggil the trilogy of cases. Kes tiga serangkai iaitu Semenyih Jaya, Indera Gandhi dan Alma Nudo yang telah memutuskan dalam ketiga-tiga kes tersebut dalam menangani isu berkaitan kuasa kehakiman mahkamah, Mahkamah Persekutuan telah mengguna pakai konsep “basic structure doctrine” untuk mengatakan bahawa kuasa kehakiman mahkamah yakni mahkamah sebagai satu entiti yang diwujudkan dan diiktiraf di dalam Perlembagaan di bawah Perkara 121 perlu dibaca di dalamnya bidang kuasa sedia ada atau “inherent jurisdiction” mahkamah dan menjadikannya satu struktur asas iaitu sama ada Parlimen mahupun Parlimen melalui eksekutif, tidak boleh membuat pindaan untuk mengehadkan bidang kuasa mahkamah berkaitan dengan kuasa kehakiman. Jadi itu yang berlaku secara ringkas dalam kes Semenyih Jaya, kes Indera Gandhi dan dalam kes Alma Nudo. Tetapi pada hakikatnya apa yang sebenarnya diniatkan dalam pandangan profesional saya sebagai peguam, apa yang diniatkan oleh Mahkamah-Mahkamah itu adalah, sebagai satu takrifan longgar untuk mengukuhkan kuasa ataupun pengasingan kuasa antara eksekutif, Parlimen dan kehakiman, maka mahkamah telah meminjam dan mengguna pakai konsep doktrin struktur asas ini,  tetapi sejak lewat-lewat ini cara takrifan diguna pakai oleh ketiga-tiga kes tersebut telah pun, bagi pendapat saya disalah guna pula dalam mahkamah-mahkamah tertinggi selepas itu dalam mencipta dan merangka pelbagai perkara yang kononnya menjadi doktrin struktur asas tanpa wujudnya pengesahan bertulis di dalam Perlembagaan kita tentang kewujudan doktrin struktur asas tersebut.

Saya percaya ini agak khilaf dan perlu kita berhati-hati, berwaspada kerana selepas daripada itu terdapat pelbagai kes lain yang menyentuh berkaitan doktrin yang sama.

Sehingga kini terdapat 7 ataupun 8 kes dan masih berterusan dan ada yang masih belum didengar di Mahkamah Persekutuan di mana  keputusan-keputusan yang mengguna pakai doktrin struktur asas ini telah pun dicabar semula dan diziarah semula supaya Mahkamah Persekutuan dapat menilai adakah betul mengimport sekali harung prinsip tersebut dari India ataupun terdapat pengecualian-pengecualian yang nyata.

Antara kes di mana perkara itu telah dipersoalkan adalah kes Maria Chin di mana seorang hakim Mahkamah Persekutuan yang memberikan keputusan majoriti iaitu Abdul Rahman Sebli telah dengan jelas mengatakan kita tidak boleh mengatakan bahawa pengasingan kuasa sekalipun dalam bentuk sepertimana yang wujud di dalam undang-undang jati common law kononnya merupakan struktur asas Perlembagaan Malaysia kerana tidak dinyatakan secara bertulis.

v. Campuri/Rentas Bidang Kuasa Terkadang Perlu

Sememangnya, setiap cabang Parlimen eksekutif dan mahkamah mempunyai kuasa mereka sendiri. Tetapi kita tidak boleh mengatakan bahawa dalam hal-hal tertentu eksekutif dan Parlimen tidak boleh mencampuri kehakiman ataupun kehakiman dan Parlimen tidak boleh mencampuri eksekutif. Ataupun kehakiman dan eksekutif tidak boleh mencampuri Parlimen kerana mencampuri itu pun perlu untuk semak dan imbang.

Itu konsep semak dan imbang yang wujud dalam separation of powers concept Demontique yang diguna pakai di bidang kuasa komanwel. Jadi macam manakah kita nak katakan struktur asas menyelamatkan bidang kuasa sedia ada kehakiman mahkamah sedangkan itu akan menentukan mahkamah mungkin tidak boleh disemak dan tidak boleh diimbang di bawah konsep pengasingan kuasa yang wujud, sekiranya kita nak pakai terima konsep “basic structure doctrine” sampai ke tahap maksimum seperti di India itu.

Kalau kita nak masukkan pengasingan kuasa atau penyelamatan bidang kuasa sedia ada mahkamah ataupun kuasa mahkamah untuk mengekalkan semakan kehakiman dalam mana-mana urusan sama ada di Mahkamah Syariah atau Mahkamah Sivil dalam urusan pengasingan kuasa mahupun kedaulatan undang-undang ataupun hak asasi manusia sebagai struktur asas, maka dikatakan perlu dibuat pindaan dan dimasukkan ke dalam Perlembagaan secara bertulis untuk mengklasifikasikan apakah dia “basic structure” Perlembagaan kita.

vi. Bukan Bidang Kuasa Mahkamah Tulis Semula Perlembagaan

Dikatakan sehingga perkara itu tidak dilakukan menurut proses pindaan Perlembagaan maka bahaya untuk mahkamah seolah-olah menulis semula Perlembagaan yang mana bukannya kuasa mahkamah. Mahkamah cuma boleh takrifkan Perlembagaan. Mahkamah tidak boleh takrif sehingga ke tahap dia menulis semula Perlembagaan apa yang tiada di dalamnya.

Jadi inilah pendapat berbeza, walaupun di Mahkamah Persekutuan yang menunjukkan bahawa kekhuatiran ramai pihak kononnya konsep struktur asas ini telah pun menyelinap masuk ke dalam sistem kehakiman Malaysia. Tidaklah sampai ke tahap bagi saya bahayanya itu sampai tidak boleh diperbetulkan sebab terdapat juga penghakiman-penghakiman Mahkamah Persekutuan seperti oleh Hakim Abdul Rahman Sebli yang saya sentuh tadi, yang mengatakan perkara sebaliknya.

vii. Ziarah & Cabar Semula Trilogi Kes 2018

Jadi secara ringkas, di Malaysia ada kes-kes yang sedang dicabar dan akan dicabar yang akan meminta Mahkamah Persekutuan ziarah semula kes-kes terdahulu terutamanya kes trilogi Semenyih Jaya, Indera Gandhi dan Alma Nudo untuk mengehadkan konsep struktur asas kerana yang pertama, Malaysia tidak mempunyai “preamble” seperti di India dan keduanya kita tidak boleh membiarkan mahkamah menulis semula Perlembagaan sedangkan cara meminda Perlembagaan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu pindaan hendaklah dibuat dan boleh dibuat sekiranya ada 2/3 majoriti dalam hal-hal pindaan biasa, kecuali terdapat pengecualian beberapa perkara di situ, yang saya akan sentuh kemudian. Dan yang ketiganya kes-kes yang menjadi sandaran cabaran ini akan didengar dalam masa terdekat dan biarlah mahkamah yang memutuskan kedudukannya kelak.

viii. Jika Perlu, Tubuh Jawatankuasa Tanpa Ahli Politik Kaji Keperluan Struktur Asas Perlembagaan

Namun, sekiranya masyarakat dan Ahli Parlimen berpendapat ianya adalah amat penting di tahap ini untuk mewujudkan struktur-struktur asas Perlembagaan maka tidak ada salah sekiranya satu jawatankuasa penyelidikan dibentuk bagi tempoh 6 hingga 9 bulan atau 12 bulan dengan ahli-ahli pakar daripada setiap pihak, iaitu pengamal undang-undang, pejabat peguam negara, bekas-bekas hakim, para akademik dan sebagainya kecuali ahli politik.

Sebab ahli politik tidak akan faham konsep Perlembagaan dan perundangan yang sebenarnya. Dengan penuh rasa rendah diri saya nyatakan mereka tidak boleh mencampuri urusan Perlembagaan melainkan mereka mempunyai latar belakang perundangan.

Seterusnya, biarkan pihak-pihak yang terlibat ini membuat kajian dan menentukan apakah dia struktur asas yang boleh dimasukkan di dalam Perlembagaan jika perlu. Kemudian perlu melalui proses pindaan dan penerimaan oleh Kebawah Duli Yang-di Pertuan Agong sebelum ianya menjadi pindaan yang sah.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: