NGO

Hapus Doktrin Luar Yang Mengganggu Hal Ehwal Islam – Pengerusi Gerakan Pembela UMMAH

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 22 September 2022 – “Sudah tentu lebih banyak bencana yang bakal berlaku kepada negara jika Basic Structure Doctrine (BSD) ini gagal dikekang secara berkesan,” ujar Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa.

“Saya berpandangan jika kita gagal mengekang BSD, ianya akan terus menjadi doktrin kepada hakim dan mahkamah untuk tempoh masa yang panjang sehingga ada pindaan Perlembagaan yang mampu mengubah tafsiran baru hakim dan keputusan mahkamah.”

Beliau berkata demikian ketika ditanya apakah yang bakal berlaku kepada negara jika BSD ini gagal dikekang secara berkesan.

Kesannya, juga boleh kita lihat mutakhir ini apabila banyak kes yang melibatkan kedaulatan umat Islam telah tewas di Mahkamah Sivil yang membuat taksiran penghakiman berdasarkan kepada doktrin luar itu sejak 2017.

Oleh itu, sudah sampai masanya rakyat menyuarakan hasrat penolakan terhadap BSD ini, khususnya umat Islam.

Menurut beliau, negara kita sudah lama merdeka dan sewajarnya sistem kehakiman kita juga sudah bebas daripada merujuk doktrin luar yang mengganggu asas-asas utama Perlembagaan kita yang menjulang Islam sebagai Agama Persekutuan.

“Kita perlu dengan tegas segera memerdekakan penghakiman kita daripada merujuk kepada doktrin luar yang diimport masuk ke dalam sistem penghakiman kita,” katanya.

Justeru, Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menyokong sepenuhnya saranan Pengerusi Gerakan Daulat, Profesor Dr Roslan Mohd Nor yang mengesyorkan agar Kerajaan mengkaji “doktrine basic structure luar” yang mengganggu-gugat bidang kuasa Syariah dan hal ehwal Islam di negara ini.

“Sudah sampai masanya para hakim membebaskan penghakiman mereka berasaskan “doktrine basic structure yang diimport daripada luar” yang dilhat hanya mengganggu-gugat hal ehwal Islam di negara ini sejak sekian lama,” ujarnya lagi.

Tambah beliau, sistem kehakiman kita sewajarnya merujuk dan memperkasa asas-asas kearifan lokal (kearifan watan) yang menjadi tiang-tiang asas utama kepada tertegaknya kedaulatan Perlembagaan Negara.

Justeru, sekiranya, jika perlu kepada pindaan Perlembagaan bagi memperkasakan bidang kuasa Mahkamah Syariah, maka umat Islam sewajarnya bersatu ke arah melaksanakan perkara ini demi survival kedaulatan umat Islam di negara ini.

UMMAH turut menyeru Ahli Parlimen Islam memberanikan diri bagi mencadangkan pindaan ini di Parlimen dengan mendapatkan sokongan majoriti 2/3 daripada ahli Parlimen Islam dan juga yang bukan Islam demi membina kebaikan bersama negara ini.

Jelasnya, pindaan Perlembagaan perlukan 2/3 majoriti Parlimen dan perkara ini juga sukar dilakukan tanpa sokongan semua pihak, maka itu perlu dimerdekakan minda dan kebijaksanaan hakim dalam membuat keputusan selain rakyat perlu berterusan mendesak Kerajaan secara bersepadu dan menyeluruh untuk melaksanakannya.

“Hakim yang paling kuat adalah rakyat (rakyat adalah hakim). Jika rakyat mahu, ia tidak mustahil dilaksanakan,” ujarnya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button