LGBT Bukan Soal Undang-Undang, Tapi Keberanian Kita Nyatakan Kebenaran – Haniff Khatri
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 30 Jun 2022 – “Masalah LGBT ini bukanlah permasalahan yang hanya perlu diselesaikan oleh satu pihak sahaja tetapi semua anggota masyarakat perlu berperanan dalam menanganinya secara bersama,” ujar peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Menurutnya, LGBT bukan hanya tidak diterima di dalam agama Islam malah, setiap agama di seluruh dunia ini, tidak kira sama ada Hindu, Buddha, Kristian mahupun Sikh dan lain-lain tidak ada yang mengiktiraf perlakuan songsang yang bukan sahaja meruntuhkan akhlak tetapi memperlihatkan kemunduran tamadun peradaban manusia itu sendiri.
Jelas beliau, banyak perkara yang dibangkitkan berhubung isu LGBT ini, pertamanya memang kita ada undang-undang tertentu yang boleh membanteras perkara itu bukan sahaja dari sudut agama atau dari sudut moralnya.
“Kita ada undang-undang tentang liwat dan sebagainya. Bukan sahaja di dalam undang-undang Syarie tetapi di dalam undang-undang Sivil sekalipun.”
Beliau berkata, tetapi ada juga perbahasan dan perbincangan yang menyatakan kita perlu mengadakan undang-undang khusus sama ada yang diminta oleh pihak-pihak yang memohon hak LGBT mahupun pihak-pihak yang mengatakan itu berlawanan dengan undang-undang negara kita.
Bagi saya, di tahap ini saya tidak berhasrat untuk memberi komen sama ada undang-undang sedia ada itu lengkap ataupun tidak sebab saya tidak berkesempatan untuk melihat segala sudut undang-undang tersebut untuk mengatakan ya ataupun tidak.
Tetapi menurut peguam itu, yang lebih penting berkaitan LGBT ini adalah kita sebagai masyarakat Malaysia tanpa mengira agama dan tidak semestinya berpandukan secara khusus tentang kedudukan agama Islam di bawah Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.
Sebaliknya, tanpa mengambil kira semua itu saya yakin dan percaya setiap agama yang diamalkan di dunia ini mempunyai prinsip yang sama dengan Islam iaitu perkara-perkara yang bertentangan dengan isu institusi kekeluargaan.
Jelas, LGBT tidak diterima oleh mana-mana agama tersebut sama ada Kristian mahupun Hindu, mahupun Buddha atau apa agama sekalipun.
Menurut beliau, kalau disemak dengan pakar-pakar agama itu sendiri dalam amalan agama-agama itu sendiri tidak ada yang setuju dan membenarkan LGBT ini.
Jadi, perkara ini perlu dinyatakan dan difahami dengan jelas. Apa yang kita ada sekarang ini terdapat golongan pengamal agama-agama tertentu yang mengatakan mereka mengamal agama itu tetapi persoalannya adakah mereka majoriti agama itu atau tidak.
Ini Bukan Soal Undang-Undang Ini Soal Keberanian Rakyat Satu Malaysia Menyatakan Yang Benar
Ditanya apakah cadangan beliau bagi memperkasakan undang-undang supaya agenda-agenda seperti penyerapan dan legitimasi LGBT tidak berlaku di negara ini?
Haniff Khatri berkata, beliau percaya ini bukan soal undang-undang tetapi soal keberanian rakyat satu Malaysia untuk bangkitkan fahaman komuniti mereka sendiri.
Misalnya, kalau dia dari agama Kristian dia perlu berani memberitahu di dalam komuniti agama Kristian pun tidak dibenarkan LGBT.
Begitu juga kalau dia dari agama Hindu perlu berani dan jujur beritahu tidak ada Hindu asal iaitu Hindu yang betul-betul mengamalkan Hindu yang sebenar bukannya Hindu liberal, bukan Kristian liberal mahupun Buddha liberal yang seolah-olah mempertunjukkan kepada rakyat agama itu adalah seperti yang diamalkan oleh mereka yang liberal sedangkan sebenarnya agama itu bukan sepertimana yang mereka cakap tetapi seperti mana yang paderi-paderi, sami-sami dan juga pekong-pekong mereka yang cakap.
Menurut beliau lagi, keberanian dari pengamal-pengamal agama-agama minoriti lain untuk memberitahu yang sebenar kepada masyarakat supaya rakyat tahu, pihak antarabangsa tahu bahawa majoriti penduduk bukan sahaja Malaysia malah seluruh dunia ini mempunyai kehormatan kepada institusi keluarga.
“Mana boleh ada lelaki kahwin dengan lelaki. Itu bertentangan dengan institusi keluarga amnya tanpa perlu melihat kepada institusi agama Islam pun,” tegasnya.
Tambah beliau, rakyat perlu berani suarakan hal ini, adakah permintaan LGBT ini permintaan yang disokong oleh fahaman majoriti?
Jadi pada saya, kalau rakyat berani cakap dari sudut kaum mereka, dari segi adat mereka, dari sudut agama mereka, tidak mengambil kira mana-mana agama ataupun adat yang minoriti selagi ianya adalah yang tulen bukan yang liberal maka kita akan nampak permintaan LGBT ini adalah permintaan yang terlampau songsang daripada sudut atau konsep hak peribadi.