Mahkamah Bakal Putuskan Cabaran Terhadap Larangan Merokok di Kedai Makan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUTRAJAYA, 10 September 2022 – Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh YA Datuk Yaacob Md Sam menetapkan tarikh 23 November bagi menyampaikan keputusan berikutan sebuah rayuan yang dibuat terhadap larangan merokok di premis makanan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Menurut sebuah laporan tempatan, rayuan telah dibuat oleh 7 individu supaya mahkamah menyemak semula keputusan pada 29 Oktober tahun lalu, di mana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menolak permohonan tersebut.
7 individu terbabit yang diwakili oleh peguam Haniff Khatri Abdulla memohon supaya mahkamah memansuhkan larangan merokok yang dikenakan oleh KKM di premis makanan.
Terdahulu, beliau menghujahkan bahawa sistem yang pernah diamalkan dahulu: pengusaha premis makanan menyediakan kawasan merokok dan tidak merokok di premis, adalah lebih seimbang untuk diamalkan.
“Kami menghujahkan bahawa situasi ini adalah lebih seimbang kepada hak perokok dan individu yang tidak merokok, di mana individu yang tidak merokok di restoran boleh memilih untuk duduk di tempat yang ditetapkan,” jelas beliau.
Bagi pihak KKM pula, mereka diwakili Shamsul Bolhassan, yang berhujah bahawa hak merokok bukanlah sebuah hak asasi, dan larangan merokok tersebut bukanlah sesuatu yang tidak munasabah ataupun salah di sisi undang-undang.
“Hak untuk merokok bukanlah hak asasi kepada kehidupan seseorang, dan sekiranya seseorang memilih untuk merokok, mereka perlu menghormati hak mereka yang tidak merokok,” hujah beliau.