Tempatan

Biarlah Mahkamah Persekutuan Membuat Keputusan Terlebih Dahulu – Haniff Khatri Abdulla

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 Oktober 2022 – Isu Undang-Undang Jenayah Syariah Kelantan yang bakal dicabar di Mahkamah Persekutuan turut mendapat reaksi dari Peguam Senior, Haniff Khatri Abdulla.

Beliau berkata, sebenarnya apa yang berlaku di dalam kes ini adalah lanjutan daripada keputusan Mahkamah Persekutuan dahulu dalam kes Iki Putra, di mana Mahkamah Persekutuan telahpun dengan jelas mengatakan bahawa kuasa mana-mana negeri untuk menggubal Undang-Undang Syariah adalah tertakluk di bawah Item 1 Jadual ke 9 Senarai ke 2 yang dengan khusus menyatakan kuasa untuk menggubal Undang-Undang Syariah Jenayah adalah tertakluk kepada klausa pengecualian, iaitu selagi ianya tidak bertindan dengan kuasa gubalan jenayah di bawah Persekutuan menurut Senarai 1 ataupun Undang-Undang Jenayah yang boleh digubal oleh Persekutuan.

Ujarnya, selagi tidak bertindan atau tidak mungkin bertindan maka sah untuk diadakan mana-mana Undang-Undang Syariah melalui gubalan Enakmen Negeri.

Menurut beliau, apa yang berlaku di sini adalah cabaran dibawa ke Mahkamah Persekutuan sebab, menurut perlembagaan pula kalau kita nak katakan satu-satu undang-undang atau akta parlimen atau enakmen negeri itu tidak sah kerana negeri atau parlimen itu tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang maka kita kena bawa terus ke Mahkamah Persekutuan dan tidak boleh dibawa ke Mahkamah Tinggi dalam keadaan begitu.

Ada Dua Tahap Prosiding Dalam Cabaran Keperlembagaan Seperti Ini

Jelas Haniff, tahap pertama ialah keperluan Pemohon mendapatkan kebenaran terlebih dahulu daripada Mahkamah Persekutuan dan kemudian barulah ke tahap kedua, di mana cabaran keperlembagaan itu didaftar sebagai satu kes tindakan asal untuk mencabar undang-undang tersebut.

Jadi menurut laporan yang ada, saya percaya Mahkamah Persekutuan telah membenarkan kebenaran pada 30 September dan mengarahkan dua wanita yang memohon itu supaya memfailkan tindakan asal mereka untuk memulakan proses cabaran keperlembagaan itu dalam tempoh 14 hari.

“Juga difahamkan bahawa proses itu telah dimulakan dan sekarang ia berada untuk proses perbicaraan sebagai tindakan asal di Mahkamah Persekutuan,” katanya.

Selalunya, Mahkamah Persekutuan tidak akan mempunyai perbicaraan macam seperti di Mahkamah Sesyen, Mahkamah Majistret ataupun di Mahkamah Tinggi kecuali dalam keadaan Perkara 4, Fasal 4 iaitu untuk mendengar sama ada Dewan Undangan Negeri ataupun Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang yang digubal itu.

Jadi Sekarang Ini, Persoalannya Adalah, Apakah Implikasinya

Pertama, sekiranya Mahkamah Persekutuan mendapati mereka telah mencabar dalam 20 bentuk jenayah di dalam Undang-Undang Syariah Kelantan yang mereka mengatakan kesemua 20 itu bertindan dengan undang-undang yang telah digubal sebagai undang-undang jenayah di pihak Persekutuan dan oleh itu mereka mengatakan disebabkan kewujudan klausa pengecualian dalam senarai 1 itu, maka undang-undang yang digubal itu walaupun digubal tetapi tidak digubal dengan kuasa sah Dewan Undangan Negeri Selangor.

Jadi, antara 20 jenayah yang dikatakan bertindan itu adalah seperti Seksyen 5 tuntutan palsu, Seksyen 11 memusnahkan mana-mana tempat ibadah, Seksyen 17 menjual ataupun menyerahkan anak kepada orang bukan Islam atau yang tidak mempunyai nilai moral di sisi Islam, Seksyen 14, 15,16 dan 17 liwat, hubungan seks dengan mayat dan hubungan seks dengan makhluk selain daripada manusia.

Seksyen 30 perkataan-perkataan yang boleh mengakibatkan pemecahan keamanan, Seksyen 31 kacau ganggu seksual. Ada juga Seksyen 34 memiliki dokumen palsu, memberi kenyataan palsu ataupun keterangan palsu.

Seksyen 36 mana-mana perkara yang boleh memabukkan. Seksyen 37 judi, Seksyen 39 mengurangkan bahan-bahan ukur dan berat. Seksyen 40 dan 41 iaitu melakukan transaksi yang berlanggaran dengan syarak atau transaksi yang melibatkan riba. Seksyen 42 penyalahgunaan label halal. Seksyen 43, 44, 45, 48 memberi perkhidmatan-perkhidmatan lucah.

Jelasnya, itu adalah antara peruntukan-peruntukan yang dikatakan bertindan dan kalau dilihat kepada beberapa peruntukan di Persekutuan seperti Kanun Keseksaan, Akta Ukuran Berat dan sebagainya terdapat beberapa Seksyen boleh dikatakan sebagai bertindan.
Maka, mahkamah akan putuskan, kalau betul ada mana-mana daripada 20 Seksyen tersebut memang tidak tertakluk kepada kuasa Negeri untuk digubal dan cuma sepatutnya seperti mana yang dibenarkan untuk Persekutuan menggubal maka ia boleh diisytiharkan bahawa Seksyen-Seksyen dalam Enakmen Syariah itu sebagai tidak sah.

Tetapi ini tidak bermakna keseluruhan daripada Enakmen Jenayah Syariah 2019 Kelantan itu akan diisytihar tidak sah, sebab terdapat lagi keseluruhannya dalam 40 lebih Seksyen yang memang tidak bertindan dengan Persekutuan dan Seksyen-Seksyen itu adalah sah iaitu yang melibatkan isu Agama Islam macam Sembahyang Jumaat, Puasa, Haji, Halal Haram dan sebagainya. Ini semua kuasa Negeri untuk gubal, dan itulah secara ringkas bentuk tindakan yang difailkan.

Kesannya, seperti yang saya katakan boleh akibatkan jika mahkamah bersetuju berkenaan dengan cabaran untuk batalkan 20 Seksyen ataupun mana-mana jumlah seksyen-seksyen jenayah berkenaan.

Tetapi pada masa yang sama, kesan daripada tindakan ini ataupun keputusan kes ini tidak bermakna terdapat kemasukan salah berkaitan dengan Doktrin Struktur Asas atau ‘Basic Structure Doctrine’ (BSD), sebab apa yang berlaku di dalam kes ini adalah pihak pemohon mengguna pakai peruntukan Perlembagaan itu sendiri, iaitu Perkara 74, Senarai 1 dan Senarai 2 dan mengatakan, menurut peruntukan-peruntukan itu, maka Dun Kelantan sepatutnya tidak sah menggubal seksyen-seksyen berkenaan.

Ini tidak bermaksud yang Undang-Undang Jenayah Persekutuan mengatasi Undang-Undang Jenayah Syariah. Itu adalah salah faham umum.

Bagi saya, biarlah Mahkamah Persekutuan membuat keputusan terlebih dahulu, dan keduanya yang paling penting Undang-Undang Jenayah yang berkaitan dengan tauhid, fiqh dan moral Islam tidak akan tercabar seperti mana yang ditegaskan di dalam kes Iki Putra.

Yang ketiganya, inilah kenapa saya mengatakan selepas daripada ini Kerajaan Pusat perlu ada kekuatan dan daya politik untuk meminda Item 1 Senarai 2 Jadual 9 untuk buang klausa pengecualian dari sana.

Kalau dibuang klausa pengecualian maka kita tidak ada masalah untuk ada Undang-Undang Liwat di Mahkamah Syariah dan Undang-Undang Liwat di Mahkamah Sivil dan tertakluk kepada proses tindakan pada masa itu dan mana-mana undang-undang lain. Tetapi selagi tidak dipinda klausa pengecualian maka akan dicabar dan boleh dicabar dan biar Mahkamah Persekutuan membuat keputusan.
Akhir sekali, semata-mata kerana terdapat peruntukan Persekutuan yang bertindan dengan Undang-Undang Syariah tidak bermakna secara otomatik mana-mana Seksyen Syariah tersebut tidak sah.

Sebab, kalau peguam dapat hujahkan apa yang dijadikan jenayah di dalam 20 Seksyen tersebut adalah berkaitan dengan unsur-unsur Islam tidak ada kena mengena dengan unsur-unsur Sivil maka sekiranya mahkamah berpuas hati dan mahkamah masih boleh kekalkan kesahihan seksyen-seksyen jenayah syariah berkenaan.

“Tetapi ada juga kemungkinan di mana mahkamah akan batalkan dan minta digubal undang-undang khusus berkaitan dengan perkara yang tergolong dalam hukum syarak sahaja melalui perkataan-perkataan khusus, tanpa ayat-ayat yang am yang boleh bertindan dengan undang-undang jenayah bidang kuasa Persekutuan,” ujarnya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: