Jemaah Menteri Kukuh Wajar Tanpa Penglibatan Mereka Yang Menghadapi Pertuduhan Jenayah Di Mahkamah – Haniff Khatri
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
Wahai Rakyat Malaysia yang prihatin,
Assalaamualaikum dan Salam Sejahtera
1. Antara cabaran utama yang dihadapi DS ANWAR IBRAHIM untuk terus memperolehi sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat dalam hal keadaan “PARLIMEN TERGANTUNG”, dan untuk turut meraih sokongan dan keyakinan Rakyat, adalah cabaran pembentukan JEMAAH MENTERI untuk melengkapkan cabang Eksekutif Kerajaan Campuran/Perpaduan di bawah teraju Perdana Menteri Ke-10 itu.
2. Pada masa yang sama, perhatian saya telah dibawa kepada kenyataan terbaru DS ANWAR IBRAHIM seperti yang dipetik MALAYSIAKINI 28.11.2022 bertajuk “Anwar pertimbang pandangan semua pihak isu pelantikan anggota kabinet” yang melaporkan:
“Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia akan mengambil kira pandangan semua pihak mengenai pelantikan anggota kabinet.
Katanya, perkara itu masih dibincangkan.
“Pandangan semua kita ambil kira.
“Tapi seperti mana kita tahu dari segi undang-undang, hanya setelah ada hukuman…yang lain tu akan diberi pertimbangan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan petang ini.
Anwar diminta mengulas gesaan pelbagai pihak agar tidak melantik Ahli Parlimen yang mempunyai pertuduhan rasuah dalam Kabinet.”
(Laporan lengkap MALAYSIAKINI 28.11.2022 bertajuk “Anwar pertimbang pandangan semua pihak isu pelantikan anggota kabinet”: https://www.malaysiakini.com/news/646062?fbclid=IwAR0gZuNQG90irVLN1FjnoZibu4m2ZIQ4z7O2dp38I8ndAwTkTFPaGtpY-EE)
3. Atas dasar keterbukaan DS ANWAR IBRAHIM untuk menerima pandangan kesemua pihak dalam pembentukan dan lantikan JEMAAH MENTERI itulah, saya tergerak untuk memberi pandangan JUJUR dan IKHLAS, dan dalam masa yang sama perbetulkan sedikit kenyataan berkaitan prinsip perundangan yang disentuh DS ANWAR IBRAHIM seperti yang dipetik oleh laporan MALAYSIAKINI itu, iaitu prinsip “seseorang itu tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh Mahkamah”.
4. Terdapat perbezaan BESAR dan KETARA dalam fahaman prinsip perundangan “seseorang itu tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh Mahkamah”, yang mana adalah satu prinsip penting dalam menentukan sesiapa sahaja tidak diberi layanan negatif dalam kehidupan sehariannya sehinggalah KEPUTUSAN MUKTAMAD dibuat oleh Mahkamah di satu sudut fahaman, dengan fahaman di sudut lain yang sama penting, iaitu keperluan memberi KEYAKINAN kepada kesemua dalam sistem tadbir urus negara, terutamanya para penjawat awam dan RAKYAT sejagat, bahawa seseorang yang dilantik dalam JEMAAH MENTERI akan dapat tanpa ragu-ragu FOKUS dan TEKUN dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri ataupun Timbalan Menteri, tanpa perlu mengambil masa untuk hadir di Mahkamah saban hari yang akan berterusan dalam tempoh berpanjangan untuk perbicaraan jenayah yang dihadapinya sehingga tamat, apatah lagi untuk duduk berbincang dan berstrategi dalam menampilkan pembelaannya (jika perlu) bersama barisan peguamnya itu!
5. Semestinyalah, Rakyat dahagakan satu Kerajaan yang FOKUS dan TEKUN, serta BEBAS daripada apa-apa isu atau faktor yang boleh mencacatkan atau membantutkan pelaksanaan tanggungjawab Menteri atau Timbalan Menteri itu.
6. Apatah lagi, kini adalah untuk tujuan pembentukan JEMAAH MENTERI yang baharu, selepas pembentukan Kerajaan baharu, pasca PRU-15, di mana sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Ahli JEMAAH MENTERI adalah lantikan baharu dan bukannya penerusan atau sambungan jawatan lama, yakni jika seseorang Ahli JEMAAH MENTERI sudahpun memegang jawatan tertentu, dan kemudiannya baharu dituduh di Mahkamah, maka konsep dan prinsip “seseorang itu tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh Mahkamah”, MUNGKIN boleh diambil kira untuk tidak secara automatik dan serta-merta untuk dilucutkan jawatannya, sehinggalah mungkin apabila dan jika Mahkamah membuat KEPUTUSAN AWAL di hujung kes pendakwaan untuk beliau memasuki PEMBELAAN.
7. Justeru, demi KEADILAN dan KESAKSAMAAN kepada kesemua pihak yang terbabit, iaitu calon-calon lantikan Menteri dan Timbalan Menteri, mahupun para penjawat awam yang akan bertugas di bawah mereka, dan terutamanya RAKYAT yang mengharapkan sebuah Kerajaan yang BERSIH, CEKAP, AMANAH dan FOKUS serta TEKUN melaksanakan tanggungjawabnya, dan tanpa mengambil kira isu peribadi mahupun politik, saya sebagai seorang Rakyat Malaysia dan pengamal perundangan SARANKAN kepada DS ANWAR IBRAHIM supaya sesiapa sahaja yang masih sedang menghadapi perbicaraan JENAYAH di mana-mana tahap MAHKAMAH, akan TIDAK DILANTIK untuk menganggotai JEMAAH MENTERI, sama ada individu-individu terbabit datangnya dari Parti UMNO seperti ZAHID HAMIDI, mahupun dari Parti DAP seperti LIM GUAN ENG (sebagai Senator) ataupun dari Parti MUDA seperti SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN.
8. Kesemua yang menghadapi pertuduhan JENAYAH akan berhak menampilkan segala bentuk pembelaan, termasuklah alegasi “tindasan politik” atau “pertuduhan terpilih” sekalipun, dan semestinyalah Mahkamah akan menilai segala pembelaan terbabit sebelum membuat KEPUTUSAN MUKTAMAD, In Shaa Allah.
9. Konsep dan prinsip “seseorang itu tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh Mahkamah” adalah BETUL dan TEPAT. Namun ianya adalah KHILAF dan PINCANG untuk melebarkan konsep dan prinsip itu ke tahap pelantikan dan pembentukan satu JEMAAH MENTERI yang baharu.
DEMI AGAMA DAN NEGARA TERCINTA !!!
Haniff Khatri
Pautan Asal: Facebook Haniff Khatri
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my