Tempatan

DUN Sarawak Lulus Usul Guna Premier

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUCHING, 17 Februari 2022 – Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2022 bagi menukar gelaran jawatan ‘Ketua Menteri’ kepada ‘Premier’ telah diluluskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada hari Selasa baru-baru ini.

BACA: Negara Sarawak Boleh Merdeka! Sarawak Merdeka! – YB Priscilla Lau
BACA: Cina Generasi Ketiga Layak Diiktiraf Bumiputera – ADUN DAP Sarawak
BACA: Hak Muslim Minoriti Sabah Bina Masjid Ditentang Sejak Merdeka – CONCERN

Rang undang-undang tersebut diluluskan dengan majoriti lebih dua pertiga iaitu menerima sokongan 67 ahli DUN dan mendapat enam bantahan. Ia diluluskan selepas pusingan kedua pengundian secara angkat tangan di hadapan Speaker Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar.

Terdahulu, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, membentangkan RUU tersebut pada sesi pagi persidangan. Keputusan undian pertama dibantah Chong Chieng Jen (DAP-Padungan) kerana tidak mencapai dua pertiga iaitu sebanyak 54 sokongan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan enam lagi tidak menyokong.

Bantahan tersebut memaksa Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar membuat undian semula sebelum RUU itu diluluskan dengan 67 sokongan ADUN. Susulan keputusan itu, jawatan Ketua Menteri Sarawak kini digantikan dengan nama baharu, ‘Premier Sarawak’.

Dalam pembentangan RUU pindaan itu, Abdul Karim menjelaskan kepada Dewan bahawa Parlimen telah meluluskan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan), 2021 pada 14 Disember 2021, yang antara lain, meminda Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan bagi tujuan mengembalikan peruntukan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan semasa pembentukan Malaysia dalam 1963, kecuali rujukan kepada Singapura.

Tambahnya, pindaan itu seiring pindaan Perlembagaan Persekutuan yang telah berkuat kuasa sejak minggu lalu.Beliau berkata, penggunaan ‘Premier’ bagi menggantikan ‘Ketua Menteri’ di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Sarawak yang diamalkan seperti di negara-negara Komanwel yang lain.

“Ketua Persekutuan digelar sebagai Perdana Menteri dan Ketua Wilayah membentuk Persekutuan digelar Premier manakala subwilayah atau negeri lain diketuai oleh Ketua Menteri,” ujarnya.

Turut dicadangkan dalam rang undang-undang itu adalah jawatan ‘Menteri Muda’ dipinda kepada ‘Timbalan Menteri’ untuk lebih mencerminkan tanggungjawab dan fungsi mereka.

Beliau juga berkata dalam pembentangannya, pindaan Perlembagaan Persekutuan baru-baru ini telah mengembalikan semangat asal kepada Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) apabila Sarawak bersetuju mengambil bahagian dalam pembentukan Malaysia, iaitu mengekalkan statusnya sebagai salah satu daripada tiga wilayah (Persekutuan Malaya, Sabah dan Sarawak) yang membentuk Persekutuan Malaysia yang baharu.

Ini meletakkan Sarawak sebagai salah satu wilayah dan tidak dianggap sebagai sama taraf dengan negeri-negeri lain dalam Persekutuan Tanah Melayu, termasuklah pertukaran gelaran Ketua Menteri kepada Premier, ujarnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: