Tempatan

Jangkitan Rabies Di Sarawak Kritikal

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

JOHOR BAHRU, 27 Oktober 2023 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa pemilik haiwan peliharaan terutama anjing dan kucing mendapatkan suntikan vaksin susulan situasi kes penyakit anjing gila atau rabies yang semakin kritikal di Sarawak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, langkah itu sebagai usaha pencegahan dan mengekang penularan penyakit rabies di negeri itu.

“Situasi rabies di Semenanjung Malaysia terkawal, sejak 2020 hingga 2023 hanya terdapat tiga kes direkodkan di Selangor.”

“Tetapi di Sarawak, jangkitan rabies lebih kritikal dan sejak 2020 hingga 2023 terdapat 75 kes direkodkan. Manakala bagi tahun ini terdapat 17 kes baharu dengan 15 kematian direkodkan.”

“Kita bimbang jika penyakit ini merebak ke pedalaman kerana kita ada kes sebelum ini berlaku di pinggir bandar dan luar bandar,” katanya selepas merasmikan Karnival Sukan Kebangsaan KKM Sempena Bulan Malaysia Sihat Sejahtera di Stadium Mount Austin, pada Khamis

Tegasnya, situasi rabies di Sarawak ketika ini agak membimbangkan dan boleh diisytiharkan sebagai wabak jika tidak dibendung dengan berkesan.

Menurut Lukanisman, langkah-langkah pencegahan telah dijalankan kerajaan negeri termasuk menerusi Jabatan Veterinar yang menjalankan program suntikan vaksinasi terhadap haiwan peliharaan.

“Difahamkan Jabatan Veterinar dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) ada membuka kaunter di mana pemilik haiwan peliharaan boleh datang dan mendaftarkan haiwan mereka untuk mendapatkan suntikan.”

Katanya, kaunter pendaftaran dan vaksinasi dibuka setiap hujung minggu bagi memudahkan pemilik haiwan peliharaan mendapatkan suntikan untuk anjing atau kucing mereka.

“Manakala bagi haiwan liar pula, suntikan vaksinasi akan dibuat apabila pihak berkenaan menerima aduan.”

“Ini penting kerana anjing khususnya mereka bergerak dalam kumpulan dan sering masuk ke kawasan kediaman.”

“Kita bimbang anjing akan menyerang dan menggigit khususnya warga emas dan kanak-kanak, jadi usaha pencegahan rabies perlu dibuat secara teratur. Kita harap masyarakat datang dan melibatkan diri dalam vaksinasi rabies ini,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: