Tempatan

Agong Perkenan Proklamasi Darurat Sarawak Ditamatkan

Jangan lupa sertai TikTokYouTubeTelegramTwitterInstagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 03 November 2021 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan.

Perkenan Seri Paduka Baginda terhadap penamatan Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak itu selaras dengan Perkara 40 dan 40 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

“Maka, setelah menimbang permohonon Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak dan memperhalusi sembah nasihat YAB Perdana Menteri serta sembah taklimat Peguam Negara dan pandangan ketua-ketua agensi Kerajaan berkenaan, Seri Paduka Baginda telah memberi perkenan supaya Proklamasi Darurat bagi negeri Sarawak ditamatkan,” kata Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini.

Menurutnya, perkenan Seri Paduka Baginda kepada penamatan Proklamasi Darurat adalah satu keputusan yang sukar dan rumit.

Namun, ianya diperkenankan bagi memenuhi keperluan demokrasi dan mengembalikan kuasa kepada rakyat untuk membuat pilihan serta memberi mandat dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu.

Di samping itu, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan kegusaran Baginda terhadap risiko peningkatan penularan jangkitan COVID-19 sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak diadakan.

“Pada hemat Seri Paduka Baginda, negara masih lagi bergelut menghadapi ancaman COVID-19 dan penularan wabak ini juga masih ditahap yang membimbangkan.”

Oleh yang demikian, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa keselamatan dan kesejahteraan rakyat jelata perlu diberi keutamaan dan sentiasa mengatasi sebarang kepentingan peribadi dan politik, kata Datuk Azuan lagi.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button