Tempatan

Sultan Johor Dipilih Yang di-Pertuan Agong Ke-17

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 27 Oktober 2023 – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17.

Menurut Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, pelantikan tersebut berkuatkuasa pada 31 Januari 2024 untuk tempoh lima tahun.

“Menjunjung titah, saya memaklumkan, Majlis Raja-Raja dalam Mesyuarat Yang Ke-263 (Khas) berlangsung di Istana Negara pada 27 Oktober (hari ini) bersetuju mengisytiharkan, Sultan Ibrahim, Sultan Johor dipilih sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVII, selama tempoh lima tahun mulai dari tarikh 31 Januari 2024.”

Dalam pada itu, Majlis Raja-Raja turut bersetuju untuk mengisytiharkan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun bermula dari tarikh yang sama.

Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang berlangsung hari ini dipengerusikan oleh KDYMM Sultan Terengganu dan dihadiri semua Raja-Raja kecuali Raja Perlis dan Sultan Kelantan.

Kata beliau, menurut peruntukan Paragraf 3, Bahagian Pertama, Jadual Ketiga Perlembagaan, keputusan Majlis Raja-Raja ini telah dikemukakan kepada kedua-dua Dewan Parlimen.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga sudah dimaklumkan,” kata beliau.

Pelantikan baharu itu adalah bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang telah memegang tampuk kepimpinan selama lima tahun bermula 31 Januari 2019 dan bakal menamatkan pemerintahannya berkuatkuasa 30 Januari 2024.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: