NGO

CPTPP: Deep State Ludah Perlembagaan Persekutuan?

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 Januari 2023 – “Pandangan kita bahawa wujudnya suatu teras dalam pentadbiran negara terutamanya dalam Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang taksub dengan sistem ekonomi kapitalis dan neoliberal,” ujar Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, A Sivarajan.

Beliau berpandangan demikian ketika ditanya mungkinkah wujud agenda ‘Deep State’ yang sanggup menjual negara dan membelakangkan Perlembagaan Persekutuan, Undang-Undang Tertinggi Malaysia?

Menurutnya, mereka ini men‘tuhani’ sistem ekonomi yang ingin menghancurkan segala perlindungan ekonomi tempatan (perlindungan kepada petani tempatan, peniaga PKS dan sebagainya) di mana mereka percaya ekonomi negara hanya boleh dipacu jika kita sujud kepada pelabur asing yang akan ‘menjajah’ negara kita secara ekonomi.

Bagaimanapun, yang bermanfaat ialah hanya elit bisnes tempatan yang berganding bahu dengan korporat antarabangsa untuk menekan rakyat, petani dan rakyat Malaysia demi mengumpulkan keuntungan kepada segelintir ini.

Timbul juga persoalan mengenai mengapa agaknya Kerajaan dilihat tergesa-gesa meratifikasikan CPTPP?

Menjawab persoalan itu, beliau menjelaskan, MITI mempunyai pandangan kuat bahawa jika Malaysia tidak meratifikasikan CPTPP maka Malaysia akan dilihat sebagai anti –bisnes atau tidak sesuai untuk menarik pelaburan asing.

Tegas Sivarajan, hal ini merupakan suatu tanggapan yang salah, kerana pelaburan asing tidak bergantung pada sama ada Malaysia mempunyai perjanjian perdagangan atau tidak, tetapi melihat pada faktor-faktor lain seperti kemudahan infrastruktur, kemahiran pekerja, kestabilan politik, kos buruh dan sebagainya.

Tambah beliau, tanpa perjanjian CPTPP, Malaysia akan kekal eksport produk kita dan import dari negara lain juga. Walaupun, MITI ada mengatakan bahawa melalui CPTPP ianya membawa masuk Kanada, Peru dan Mexico yang sebelum ini tidak mempunyai apa jua perjanjian perdagangan dengan Malaysia, maka kita ada peluang untuk mengeksport ke negara-negara tersebut.

“Kami berhujah bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat, boleh pada bila-bila masa pun membuat perjanjian perdagangan dua hala dengan Kanada, Peru dan Mexico. Perjanjian itu boleh dibuat agar ianya benar-benar memanfaatkan Malaysia dan tidak mengandungi klausa –klausa toksik seperti dalam CPTPP ini.”

Maka, perdagangan boleh dilakukan dengan mana-mana negara tanpa menyertai CPTPP. Klausa-klausa toksik seperti ISDS, pembukaan perolehan, UPOV dan sebagainya hanya menjejaskan kita.

Justeru, kenapa MITI begitu berdegil hendak juga menjalin perdagangan melalui CPTPP dan bukannya dengan cara lain?” soal beliau.

Ini menimbulkan tanda tanya dan persoalan perlukah badan seperti SPRM atau PDRM campur tangan dan siasat kebenaran akan hal ini?

Bagaimanapun Sivarajan berkata, mungkin tiada keperluan buat masa sekarang untuk berbuat demikian.

“Saya rasa tiada unsur jenayah atau rasuah dalam isu CPTPP, hanya masalah ideologi ekonomi yang dibawa oleh mereka-mereka yang menyokong CPTPP ini sehingga mengaburi mata mereka dari melihat kepada isu rakyat,” ujarnya.

Justeru itulah, kita menyarankan agar perkara ini diambil alih oleh Perdana Menteri sendiri dan bukannya MITI, kerana implikasi CPTPP jauh lebih luas dari perdagangan.

“Ianya, menjejaskan kedaulatan negara, maka PM lah sebaiknya yang perlu menangani isu ini bukan MITI,” katanya mengakhiri perbualan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: