Ratifikasi CPTPP: Kesannya Kepada Semua, Bukan Bumiputera Sahaja
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 26 NOVEMBER 2021 – Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DEWAN MELAYU) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengeluarkan satu kenyataan bersama semalam berkenaan isu kempen besar-besaran menyokong ratifikasi CPTPP.
Dalam kenyataan tersebut, mereka menyatakan rasa bimbang terhadap kempen berkenaan yang seolah-olah disokong sepenuhnya oleh bukan Bumiputera tetapi ditolak oleh kumpulan Bumiputera dengan justifikasi yang bukan sahaja tidak tepat tetapi mengelirukan.
Oleh itu, Dewan Melayu terpanggil untuk memperbetulkan beberapa dakwaan yang tidak tepat dalam ratifikasi CPTPP.
Yang pertama, CPTPP memberi impak kepada petani. Dalam syarat CPTPP, Malaysia wajib menyertai satu perjanjian antarabangsa iaitu perjanjian UPOV 1991 yang akan menyekat hak petani untuk menukar dan menjual benih yang dilindungi.
Perjanjian ini akan merugikan hak petani dengan memperkenalkan pelbagai sekatan dan menggalakkan aktiviti persaingan tidak sihat serta memperkenalkan sistem pertanian yang akan menjejaskan kesuburan tanah.
“Kebimbangan utama yang akan dibawa dalam sistem UPOV ini ialah penafian hak petani terhadap amalan kebebasan menyimpan, berkongsi dan menjual benih dihasilkan sendiri; menggalakkan monopoli; memudahkan kegiatan “bio-piracy” dan boleh membawa kepada kehilangan kearifan tempatan,” ujar mereka dalam kenyataan tersebut.
Selain itu, manfaat CPTPP juga terlalu kecil berbanding risiko. Sebelum CPTPP wujud, Malaysia sudah menikmati hasil eksport yang tinggi berbanding selepas CPTPP diperkenalkan.
Menurut Dewan Melayu, Malaysia hanya perlu memeterai perjanjian dengan 3 buah negara iaitu Kanada, Mexico dan Peru untuk meningkatkan hasil nilai eksport tanpa perlu meratifikasi CPTPP.
“Malaysia telah memeterai perjanjian dengan kesemuanya kecuali Canada, Mexico dan Peru dengan nilai eksport yang kecil (RM13 billion atau 1.3% dari jumlah eksport keseluruhan). Malaysia hanya perlu memeterai perjanjian bilateral dengan ketiga negara ini untuk meningkatkan nilai eksport, tanpa perlu meratifikasi CPTPP.”
Selain itu, mereka berkata, “Pakar ekonomi juga menegaskan bahawa sekiranya ada peningkatan dari segi pelaburan terus asing (FDI), ianya terhasil daripada kesan konsesi, kesan langkah bukan tariff (non-tariff measures), atau kesan melonggarkan undang-undang yang baik untuk pembinaan negara bangsa (nation building) seperti galakan dan perlindungan industri tempatan, atau pemerkasaan dasar-dasar sosial seperti Agenda Memperkasa Bumiputera.”
Tambahan pula, perjanjian CPTPP yang telah diratifikasi tertakluk kepada undang-undang “Investor-State Dispute Settlement” (ISDS).
“Jika Carve-Out adalah benteng pertahanan sementara Bumiputera, maka ISDS adalah meriam yang mahu merobohkan benteng tersebut. ISDS adalah mekanisme penyelesaian pertikaian di antara pelabur dengan kerajaan, yang kebiasaannya menyebelahi pelabur,” jelas mereka.
Perjanjian ini hanya mengandungi pengecualian hak Bumiputera dalam beberapa perkara sahaja dan ianya bersyarat.
“Kenyataan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri baru-baru ini menunjukkan pengecualian untuk hak keistimewaan Bumiputera adalah dalam bentuk Carve-Out terhad kerana ianya terbatas kepada mengadakan lesen dan permit baru atau lesen tambahan kepada Bumiputera secara bersyarat.”
Selain itu, mereka juga berkata, agenda Bumiputera belum terjamin dengan adanya Carve-Out. Hal ini kerana masih banyak agensi-agensi kerajaan di semua peringkat, PBT dan GLC masih belum faham atau dilibatkan dengan rundingan meratifikasi CPTPP.
Perjanjian ini juga menyebabkan jurang ekonomi besar antara semua kaum kerana ianya masih perlukan dasar-dasar khusus bagi menanganinya. Tambahan pula, CPTPP hanya dahagakan perolehan kerajaan dan perolehan GLC.
Dewan Melayu berkata, mereka tegas untuk menolak pengenalan nilai ambang dan tempoh matang dalam perolehan kerajan CPTPP. Hal ini kerana, sistem nilai ambang ini hanya akan merugikan syarikat tempatan sama ada Bumiputera ataupun bukan Bumiputera.
Dewan Melayu juga melahirkan rasa bimbang akan kesan CPTPP kepada sektor perkhidmatan yang tidak diberikan jaminan, pengecualian atau Carve-Out yang jelas. Katanya, walaupun ada pengecualian tapi terlalu terhad untuk beberapa subsektor tempatan sahaja.
Akhir kenyataan, Dewan Melayu bersama MTEM berkata, banyak kajian daripada pakar-pakar tempatan menyatakan meratifikasi CPTPP ini hanya akan merugikan Malaysia. Dewan Melayu juga menasihatkan kerajaan agar tidak terburu-buru membuat keputusan meratifikasi CPTPP ini.
“Justeru Dewan Melayu ingin mengulangi pendiriannya agar kerajaan lebih berhati-hati dan tidak perlulah terburu-buru meratifikasi CPTPP. “