NGO

CPTPP, ICERD & Triti-Triti Antarabangsa: Bentuk Campur Tangan Kuasa Luar Di Alaf Baru?

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

1. Semenjak tertubuhnya Kesultanan Melayu Melaka di abad ke 13 Masihi serta kerajaan-kerajaan Tanah Melayu yang lain selama beratus-ratus tahun sehingga wujud Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1948 Masihi, kedaulatan kerajaan-kerajaan ini mendapat pengiktirafan dari semua kuasa besar dunia, termasuk dunia Arab, Eropah, India, China dan sebagainya.

2. Pengiktirafan kedaulatan di sini bermaksud mengakui punca kuasa dan otoriti yang sah mengikut hukum watan di dalam kerajaan-kerajaan tersebut, seperti Raja, Bendahara, Temenggong dan pembesar tradisional lainnya dalam kesultanan Melaka dan pewaris Melaka, manakala sistem kenegaraan tradisional serta adat budaya tempatan juga diterima dan diraikan.

3. Sebarang hubungan yang dibuat di antara sebuah kuasa yang berdaulat dengan kuasa berdaulat yang lain adalah melalui perjanjian-perjanjian atau triti-triti yang menyenaraikan bentuk-bentuk kerjasama sama ada dalam bidang politik, perdagangan, sosiobudaya dan sebagainya. Kecuali berlaku peperangan sehingga kuasa yang kalah hilang kedaulatan dan terpaksa tunduk di bawah kuasa yang menang.

4. Bagaimanapun, pemerhatian kepada latar belakang sejarah di sebalik triti-triti yang berlaku di antara kuasa-kuasa Barat dengan kesultanan-kesultanan Melayu, khususnya di zaman British merujuk banyak siasah berlaku yang memberikan natijah yang dahsyat dan memudaratkan. Antaranya, berlaku unsur-unsur tipu muslihat, perdaya, ugutan, rasuah, berunding dengan kuasa ‘de facto’ walhal otoriti sebenar masih wujud, hatta menggunakan pendekatan kekerasan dan ‘ubat peluru’.

5. Sehingga berlakulah kompromi yang besar kepada kepentingan rakyat dan negara. Malahan triti-triti yang diperolehi secara begini juga telah membawa padah lebih buruk apabila berlaku pengkhianatan, malahan menghasilkan campur tangan kuasa-kuasa luar terhadap unsur-unsur politik dan kenegaraan watan yang berteraskan Adat dan Syariat, sehingga mengkompromi kedaulatan kesultanan-kesultanan yang terlibat. Antara contoh adalah Perjanjian Francis Light dengan Sultan Kedah pada tahun 1786, Perjanjian Raffles dan Sultan Hussin di Singapura dalam tahun 1819, Perjanjian Pangkor 1874 dan banyak lagi.

6. Begitulah yang berlaku pada kesultanan-kesultanan Tanah Melayu dengan kedatangan kuasa-kuasa luar. Dalam konteks sejarah kemunculan kuasa Belanda (abad ke 17) dan British (abad ke 18) di perairan Selat Melaka, pada mulanya dua kuasa Barat ini sering bertelagah untuk merebut wilayah-wilayah strategik di rantau ini sehingga berlaku tindan-tindih dalam hal tersebut, namun setelah berlaku Triti Inggeris-Belanda 1824 di London, persepakatan dibuat untuk mewujudkan wilayah pengaruh masing-masing bagi menyelesaikan konflik tersebut, proses seterusnya adalah membuat triti-triti dengan kuasa-kuasa tempatan di wilayah pengaruh masing-masing. Akhirnya muncullah beratus-ratus triti yang melibatkan urusan dagangan dan politik.

7. Pada awalnya triti-triti perdagangan dibuat dengan kuasa-kuasa tempatan seperti Sultan, ataupun dengan pembesar-pembesar kanan seperti Bendahara dan Temenggung yang mewakili Sultan khususnya dalam hal-hal perdagangan. Ironisnya, dari jalan inilah British mulai campur tangan dalam rumah tangga kesultanan-kesultanan Melayu, seringkali dengan alasan demi menjaga kepentingan aktiviti ekonomi dan perdagangan mereka.

8. Belakangan, apabila kuasa British mula membuat pelbagai onar sehingga berhasil memusnahkan sistem pembesar tradisional Melayu, kuasa besar dunia ini maju setapak lagi dengan mengadakan triti-triti dengan Raja-Raja Melayu yang mewujudkan sistem Penasihat dan Residen British serta bentuk-bentuk pentadbiran Tanah Melayu yang di bawah kawalan British dengan mengataskannamakan sebagai wakil Raja.

9. Apabila berlaku pendudukan Jepun dari tahun 1942-1945, dengan penuh keyakinan akan kembali semula ke Tanah Melayu, kuasa British mula merencanakan bentuk triti baru yang akan menggantikan triti-triti lama dengan Raja-Raja Melayu, yang dihasratkan untuk lebih mampu mencengkam terus wilayah Tanah Melayu yang strategik dan penuh dengan hasil mahsul ini. Maka sejurus kejatuhan kuasa Jepun pada bulan Ogos 1945, British kembali lagi, kali ini membawa misi Harold MacMicheal untuk mendapatkan tandatangan Raja-Raja Melayu, juga dibuat secara muslihat, tipu daya hatta ugutan. Sehingga dalam tempoh hanya 2 bulan dari hujung bulan Oktober ke hujung bulan Disember 1945, tandatangan Raja-Raja Melayu berhasil diperolehi di atas triti yang bakal dijadikan asas kepada pembentukan Malayan Union pada 1 April 1946 yang bakal melupuskan kedaulatan Raja-Raja Melayu sebagai tonggak kesultanan-kesultanan Tanah Melayu. Malahan banyak lagi kepentingan-kepentingan bangsa dan negeri bakal diperjudikan.

10. Namun kuasa Allah S.W.T. menguasai segalanya. Walaupun triti Harold MacMicheal telah ditandatangani, orang Melayu dari pelbagai lapisan masyarakat bangkit bersama pemimpin-pemimpin pertubuhan, alim-ulama dan para pembesar Negeri-Negeri Melayu untuk memprotes triti tersebut sekali gus penubuhan Malayan Union. Di waktu itu, Raja-Raja Melayu juga mencemar duli, turun padang bersama rakyat jelata, sekaligus menghantar surat-surat protes ke London membuat aduan tentang muslihat dan ugutan yang diterima sehingga terpaksa menurunkan tandatangan dalam triti Harold Mac Micheal. Natijahnya berlakulah protes besar-besaran di seluruh tanah air sehingga berhasil membatalkan triti MacMicheal dan Malayan Union, dan digantikan dengan triti Persekutuan Tanah Melayu dalam tahun 1948

11. ‘Fast Forward’ kepada alaf baru: Pada hari ini, dengan menggunakan instrumen antarabangsa seperti UN, WTO, WHO dan sebagainya, sekali gus bersembunyi di sebalik gagasan Kebebasan Hak Asasi Kemanusiaan, triti-triti Perdagangan Antarabangsa, Kesihatan dan sebagainya, di celah-celahnya wujud elemen campur tangan kuasa-kuasa Barat dalam negara-negara yang berdaulat demi mempertahankan gagasan ‘supremacy’ mereka.

12. Walaupun kita tidak nafikan ada bentuk-bentuk triti antarabangsa yang memberikan faedah kepada umat manusia seperti beberapa Core International Human Right Instrument iaitu ICESCR, CRC, CAT, CRPD, CPED dan sebagainya, namun kita juga perlu berhati-hati supaya jangan terjebak dalam triti-triti yang boleh mengkompromi kepentingan agama, bangsa dan rakyat jelata, hatta kedaulatan negara.

13. Himpunan Awam Bantah ICERD (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination) yang diadakan pada 8 Disember 2018 yang melibatkan beratus-ratus ribu rakyat Malaysia, adalah satu contoh bantahan terhadap hasrat Kerajaan untuk meratifikasi triti ICERD yang bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Malaysia berkaitan hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera. Peristiwa ini mempunyai persamaan dengan protes orang Melayu dari pelbagai peringkat terhadap triti Harold MacMicheal dan penubuhan Malayan Union.

14. Hari ini kita berdepan dengan suatu lagi cabaran triti moden, iaitu Comprehensive and Progressive Agreement for Trans-Pacific Partnership (CPTPP) yang baru diratifikasi oleh pihak Kerajaan Malaysia pada 30hb September 2022 lepas. Kajian yang menyeluruh daripada pelbagai pihak pemegang taruh telah merumuskan bahawa CPTPP ini akan lebih banyak membawa kemudaratan jangka panjang berbanding faedah dan maslahah, termasuk berpotensi menjadi suatu bentuk imperialisme politik di alaf baru.

Disebabkan hal inilah banyak pertubuhan bukan kerajaan telah mengambil inisiatif untuk membuat desakan segera kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia untuk mengkaji semula faedah CPTPP dan tuntutan menarik balik ratifikasi jika mendapati ianya mengkompromi kepentingan agama, sosio-politik, rakyat dan negara.

15. Sejarah campur tangan kuasa-kuasa luar, khususnya di zaman British melalui triti-triti yang dibuat sehingga membawa pelbagai onar dan malapetaka kepada kepentingan agama, bangsa, rakyat jelata dan tanah air patut menjadi iktibar kepada semua pihak di negara ini, khususnya yang memegang amanah kuasa, supaya apa jua triti-triti antarabangsa yang dicadangkan perlu diteliti secara lebih menyeluruh dan terperinci dengan melibatkan pakar-pakar bidang serta semua pemegang taruh sebelum diratifikasi, supaya jangan mengulangi lagi kesilapan lama, sehingga nasi menjadi bubur dan memangsakan rakyat jelata yang semakin dihimpit pelbagai kesusahan dan kesengsaraan.

Dan CPTPP tidak terlepas daripada saranan ini.

Intaha

Suzana Othman
Pengerusi
Pertubuhan Kesedaran Melayu Dan Islam (KEMUDI)

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: