Pendapat

Benarkah UMNO Mahu Kerjasama Dengan DAP – Dr Iskandar Hasan Tan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa join Telegram, Instagram dan Facebook kami bagi mendapatkan berita terkini

UMNO sudah berkali-kali menyatakan tidak akan berkerjasama dengan DAP. Tetapi dalam dunia politik hari ini, serangan psikologi untuk memberikan satu persepsi yang kurang baik kepada UMNO ialah menunjukkan bahawa terdapat satu jalinan rahsia antara UMNO dan PH.

Ini bertujuan melemahkan keyakinan rakyat khususnya Melayu untuk menyokong UMNO. Malahan terdapat satu gerakan terancang ke arah penyebab kerjasama UMNO dengan PH termasuk DAP adalah daripada golongan kluster mahkamah iaitu Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Abdul Razak. Walaupun kedua-dua tokoh ini dihormati dalam kalangan ahli UMNO kerana jawatan yang dipegang atau jasa bakti ke atas UMNO, UMNO tetap milik ahli-ahli UMNO.

Semua keputusan yang dibuat dalam UMNO bukan dibuat hanya dari kata putus Presiden UMNO tetapi persetujuan keseluruhan ahli-ahli MT UMNO termasuk Timbalan Presiden UMNO. Walaupun UMNO dikatakan mempunyai banyak kem. Tetapi secara lumrahnya dalam politik kepartian kewujudan kem-kem ini menyuburkan semangat demokrasi yang didukung UMNO.

Sepertimana dalam mesyuarat yang lepas bahawa UMNO sedia memperkasakan Muafakat Nasional dan masih mengekalkan hubungan dengan PAS. Sebaliknya UMNO dalam Barisan Nasional bukan sebahagian dalam gabungan Perikatan Nasional. Ini menunjukkan bahawa UMNO sedia bekerjasama dengan gabungan Perikatan Nasional untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional hari ini adalah berdasarkan persetujuan keseluruhan bahagian dan ahli-ahli UMNO. Jadi tidak timbul isu UMNO tidak bersama dengan gabungan Perikatan Nasional.

Keseriusan UMNO untuk bekerjasama dengan gabungan Perikatan Nasional di peringkat kerajaan Persekutuan sudah memadai. Malahan lanjutan daripada persetujuan kerjasama ini juga ditunjukkan di peringkat kerajaan negeri. Tetapi terpulang kepada UMNO negeri untuk menentukan sejauh manakah keseriusan tersebut. Keputusan UMNO dalam Barisan Nasional untuk melawan dengan Perikatan Nasional perlu difahami dalam konteks kerangka politik gabungan dan kerjasama pembentukan kerajaan.

Tidak salah UMNO untuk berdepan dengan PPBM disebabkan UMNO bukan sebahagian dalam gabungan Perikatan Nasional. Mahupun UMNO juga tidak ada satu bentuk perjanjian rasmi dengan PPBM dalam kerangka permuafakatan politik. UMNO hanya mempunyai permuafakatan politik dengan PAS. Adalah tidak adil menuding jari dengan persepsi kurang baik apabila UMNO menyatakan pendiriannya berhubung situasi politik semasa.

Semua keputusan UMNO bukan datang dari Presiden iaitu Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi. Tetapi adalah datang daripada persetujuan pandangan semua bahagian yang memberikan kata putus kepada MT UMNO. Isu berhubung UMNO Terengganu untuk melawan PAS boleh difahami dari tiga aspek. Pertama, UMNO Terengganu sepertimana UMNO Kelantan sudah lama ditatih untuk melawan PAS sejak tahun 1990 lagi. Tradisi UMNO melawan PAS untuk menguasai kedua-dua negeri ini tidak boleh dinafikan dan legasi ini berterusan sehinggalah berlakunya gencatan senjata selepas PRU-14. Kedua, Dato’ Ahmad Said adalah pemimpin pelapis UMNO Terengganu yang dijiwai untuk melawan PAS sejak UMNO kehilangan kuasa di Terengganu sejak 2004. Maka, untuk meredakan ketegangan antara UMNO Terengganu dengan PAS Terengganu adalah kembali semula kepada jalan perdamaian Islam. Berikan layanan yang adil dan baik bukan sahaja kepada kepimpinan UMNO tetapi juga di semua peringkat bahagian dan cawangan UMNO Terengganu. Usrahkan muhibah antara ahli-ahli UMNO dan PAS dalam semua program kerajaan negeri. Seterusnya merakyatkan kerajaan negeri Terengganu tanpa mengira parti dan fahaman ideologi politik.

PAS perlu memperkasakan permuafakatan dengan UMNO di semua negeri sehingga dirasai oleh semua ahli-ahli kedua-dua parti. Ini amat penting dalam mengekalkan silaraturahim yang subur. Malahan PAS perlu memartabatkan Islam di kaca mata rakyat terutama isu-isu yang sedang berlegar pada masa kini. Muafakat Nasional perlu dipertahankan dan diwarnai harmoni dan saling percaya mempercayai antara satu sama lain. Sementara itu, PAS perlu usahakan agar PPBM mampu merangka satu perbincangan politik dengan UMNO agar realisasi satu lawan satu boleh berlaku dalam PRU-15 nanti. Agak mustahil untuk dilaksanakan tetapi boleh dilaksanakan dengan situasi paling minima risiko politik Melayu dan Islam. Pada masa yang sama PAS perlu menanya balik kepada DAP, benarkah parti itu mempunyai niat yang tulus untuk kerjasama dengan UMNO atau terdapat agenda disebaliknya. UMNO perlu sedar parti itu tidak boleh menang sendirian tanpa PAS.

Dr Iskandar Hasan Tan bin Abdullah ialah seorang pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Pautan Asal: https://www.facebook.com/iskandar.h.tan/posts/10226200675188491

*Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tiada kaitan dengan pendapat Samudera.my*

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: