Tempatan

PRU-15: Elakkan Kempen Menyerang, Jauhkan Fitnah, Provokasi, Caci Dan Cela – Agong

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 21 Oktober 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah menasihati semua calon supaya bertanding secara sihat dengan mengelakkan kempen menyerang selain mengingatkan bahawa dalam kehangatan dan keghairahan berkempen, jauhkanlah sifat fitnah, provokasi, caci-mencaci dan cela-mencela dengan memburuk dan memperlekehkan sesiapa sahaja semasa berkempen.

Demikian kenyataan rasmi dari Datuk Pengelola Bijaya Diraja Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, yang juga memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda menyeru para calon dan penyokong parti-parti politik mengamalkan pendekatan berhemah sepanjang tempoh berkempen, bermula dari hari penamaan calon pada 5 November 2022 kelak.

Semua calon perlulah akur dengan garis panduan undang-undang serta peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa, khususnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh tersebut hingga hari mengundi pada 19 November 2022.

Sesungguhnya, pada hemat Seri Paduka Baginda, kerjasama baik dari semua pihak amat penting di samping menghormati dan menjunjung tinggi institusi kehakiman negara serta sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan menjadikan kerjasama politik antara parti lebih harmoni.

Justeru, Seri Paduka Baginda mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama mendoakan semoga perjalanan PRU-15 kelak lancar, selamat dan semoga rakyat dan negara sentiasa diberkati, dirahmati serta dilindungi daripada sebarang bentuk bencana dan musibah.

Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani bin Ghazali, di Istana Negara, semalam (19 Oktober 2022).

Dalam sesi menghadap itu, Seri Paduka Baginda telah berkenan menerima sembah taklimat berkenaan persiapan PDRM dan agensi yang berkait bagi tempoh perjalanan PRU-15 dan kesiapsiagaan menghadapi kemungkinan banjir, yang melibatkan seramai 99,133 pegawai dan anggota.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: