Malaysia Di Fasa Peralihan Monsun, Sukar Tentukan Cuaca – METMalaysia
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PETALING JAYA, 27 Oktober 2022 – Corak cuaca tidak boleh ditentukan buat masa ini kerana negara masih berada di Fasa Peralihan Monsun, ujar Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Arip.
Lapor berita tempatan, Mohd Hisham berpendapat, ia masih terlalu awal untuk jabatan itu meramal cuaca pada tempoh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bulan depan.
“Ada 10 hari lagi sebelum penamaan calon pada 5 Nov ini dan agak sukar untuk kita (METMalaysia) ramalkan sama ada cuaca baik atau buruk pada masa itu.”
“Namun kita akan cuba sebaik mungkin untuk menyampaikan maklumat cuaca dalam tempoh empat atau lima hari sebelum itu,” katanya.
Tambah beliau, taburan hujan di Malaysia masih di paras normal dan negara dijangka tidak mengalami cuaca luar biasa dalam fasa peralihan monsun setakat bulan ini. Kebiasaannya fasa tersebut bersifat sekejap di mana cuaca cerah di sebelah pagi, manakala sebelah petang lebih kerap berlaku ribut petir.
Sehubungan itu, Mohd Hisham menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan maklumat cuaca yang disebarkan netizen, sebaliknya hanya merujuk METMalaysia.
“Kebanyakan warga maya membuat rujukan kepada sumber yang didakwa boleh dipercayai tetapi maklumat diperoleh tidak lengkap, tidak dikemas kini secara berkala dan membuat ramalan cuaca yang terlalu jauh ke hadapan sesuatu tarikh, justeru agak mengelirukan.”
Beliau berkata sedemikian kerana jabatan berkenaan mempunyai pelbagai sumber untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini yang sahih dan tepat.