PRU-15

Pemangku Raja Pahang Perkenan DUN Pahang Dibubarkan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PAHANG, 14 Oktober 2022 – KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah telah memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang berkuat kuasa pada Jumaat bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perkara itu diumumkan oleh  Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam sidang media khas pagi ini, di Wisma Sri Pahang.

Datuk Seri Wan Rosdy memaklumkan telah menghadap Pemangku Raja Pahang untuk memohon perkenan bagi pembubaran DUN Pahang ke-14.

“Tarikh ini dipilih bagi membolehkan pembentangan serta perbahasan mengenai Belanjawan 2023 Negeri Pahang disempurnakan terlebih dahulu, sekali gus mendapat kelulusan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.”

Tambah beliau, meskipun penggal ini masih berbaki beberapa bulan lagi, ketetapan membubarkan DUN Negeri Pahang ke-14 dan seterusnya menyertai PRU-15 bersama-sama Kerajaan Persekutuan diambil bersandarkan kepada beberapa keperluan.

“Pertama, untuk mengelakkan proses dan pilihan raya yang berulang-ulang dalam tempoh yang singkat. Ini kerana, kurang setahun dari sekarang penggal ini akan berakhir dan pilihan raya mesti diadakan.”

Sekiranya Pahang tidak menyertai PRU-15 sekarang, ia hanya akan menyebabkan Negeri Pahang terpaksa melalui proses pilihan raya sekali lagi di peringkat negeri kelak yang melibatkan masa, tenaga dan fokus yang tinggi, jelas beliau.

Walau bagaimanapun, ia boleh dielakkan sekiranya Pahang menyertai PRU-15 bersama-sama Kerajaan Persekutuan sekarang.

Selain itu, penyertaan DUN Pahang serentak dalam PRU-15 juga berupaya menjmatkan kos dalam pelbagai aspek serta permulaan dan pengakhiran yang selari antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan akan melancarkan urusan pentadbiran antara kedua-dua pihak.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Pahang wajar turut serta dalam PRU-15 bersama-sama Kerajaan Persekutuan, kata Datuk Seri Wan Rosdy.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: