Tempatan

Banjir Taman Sri Muda ‘Ketentuan Tuhan’

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SHAH ALAM, 12 November 2022 – Banjir teruk yang melanda Taman Sri Muda, Shah Alam akhir tahun lalu dikatakan sebagai ‘Ketentuan Tuhan’ (act of God) dan berada di luar kawalan manusia.

Menurut laporan media, kenyataan itu dikeluarkan pihak Kerajaan ketika menjawab saman kecuaian yang difailkan terhadapnya oleh 50 penduduk di kawasan tersebut.

Laporan sama memaklumkan, pihak Kerajaan dan lima yang lain yang dinamakan sebagai defendan dalam tindakan undang-undang itu berkata, banjir berkenaan disebabkan oleh hujan lebat secara berterusan di seluruh di Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Defendan lain yang turut memfailkan pembelaan mereka bertarikh 7 September lalu adalah Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA); Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia); Menteri Alam Sekitar dan Air; Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Kesemua defendan berpandangan, hujan lebat ketika kejadian tersebut turut dipengaruhi Taufan Rai, luruan monsun dan sistem tekanan rendah di Laut China Selatan yang bergerak memasuki Semenanjung melalui negeri Pahang dan merentasi tengah Semenanjung menuju ke Selat Melaka.

“Ia adalah keadaan di luar kawalan manusia… pada masa sama, berlaku fenomena air pasang besar bermula 16 hingga 23 Disember tahun lalu menyebabkan aras air Sungai Klang tinggi kerana kemasukan air pasang ke dalam sungai,” kata pihak defendan.

Dengan itu, pihak defendan menyatakan bahawa, “Kami menafikan tuntutan kerugian dan kerosakan oleh plaintif. Plaintif tidak layak menuntut ganti rugi khas, ganti rugi am dan ganti teruk dan kami menegaskan bahawa tuntutan itu adalah salah tanggapan, tidak berasas di sisi undang-undang dan satu tindakan mengaibkan, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.”

Pengurusan kes saman berkenaan ditetapkan pada 29 November ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: