Simulasi Penyelamatan Cerun Dan Gua, Tingkatkan Kesiapsiagaan Hadapi Bencana
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
GOPENG, 07 November 2022 – Satu latihan menyelamat di Gua Tempurung telah diadakan bagi meningkatkan kesiapsiagaan anggota pasukan elit negara dalam menghadapi kemalangan dan bencana Monsun Timur Laut.
Latihan yang bermula pada 31 Oktober hingga 4 November itu melibatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) Bomba dan Pasukan Khas Pertahanan Awam (PASPA).
Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pelaksanaan Operasi) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Meor Ismail Meor Akim berkata, latihan meliputi kerja menyelamat 10 mangsa yang terkandas dalam runtuhan struktur di Gua Tempurung.
“Kita melaksanakan pelbagai jenis simulasi antaranya banjir, bencana di terowong, empangan dan runtuhan bangunan sebagai sebahagian persediaan pasukan.”
“Senario ini membantu kita menguji peralatan seperti alat pengesanan selain cabaran pasukan berhadapan haiwan berbisa dan koordinasi semua unit-unit dalam jabatan.”
Latihan menyelamat ini juga melibatkan 31 anggota jabatan dan agensi lain termasuk polis.
Sebelum ini, METMalaysia melaporkan musim tengkujuh akan bermula lebih awal dari yang dijangka.
Justeru, pelbagai pihak dinasihati bersiap sedia bagi menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan maklumat, nasihat dan amaran cuaca yang dikeluarkan.