Tragedi Banjir Baling: Kerajaan Beri Bantuan Segera
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 06 Julai 2022 – “Setiausaha Politik saya, Dato Mohammad Anuar bersama pihak Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyampaikan BWI kepada semua KIR pada hari ini termasuk tiga waris mangsa yang telah meninggal dunia sebanyak RM10,000 seorang,” kata Perdana Menteri Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semalam dalam satu kenyataan media.
Susulan tragedi banjir yang melanda daerah Baling pada hari Isnin baru-baru ini, beliau telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali untuk menyelaraskan bantuan segera kepada semua mangsa yang terlibat.
Bantuan-bantuan awal kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) tersebut ialah, Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1000, Bantuan Barang Keperluan Asas sebanyak RM2,500, Bantuan Barangan Elektrik sebanyak RM500 dan bantuan pembaikan rumah.
“Kebanyakan rumah yang terkesan dengan musibah ini mengalami kerosakan dan sebanyak 25 buah rumah telah musnah sama sekali,” ujar beliau.
Tambah Dato’ Sri Ismail Sabri, beliau juga telah mengarahkan semua agensi Kerajaan yang terlibat untuk mengenal pasti kerosakan dan pembaikan yang perlu dilakukan untuk memastikan mangsa-mangsa tragedi ini ada tempat berteduh yang selesa selepas ini.
“Bantuan-bantuan lain akan disusuli dengan segera termasuklah kerja-kerja pembersihan kawasan dan projek-projek tebatan banjir yang kritikal. Kerajaan Persekutuan terus komited untuk menyediakan peruntukan yang sewajarnya bagi perkara ini.”
Ikrar beliau lagi, “Saya akan memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa-mangsa ini akan diberi perhatian yang sepenuhnya dengan kerjasama erat daripada semua pihak baik dari Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri.”
Isnin baru-baru ini, negara dikejutkan dengan peristiwa banjir berpunca dari hujan lebat yang turun tanpa henti selama tiga jam di samping kepala air di daerah Baling, Kedah, yang meragut tiga nyawa.
Bencana ini juga menjejaskan seramai 1,490 orang mangsa yang melibatkan 112 Ketua Isi Rumah (KIR). Tiga buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka iaitu PPS SMK Jerai, PPS Surau An Nur dan PPS SMK Agama Al Khiriah.