AidilFitri: Selepas Menu Rahmah, Raya Rahmah Pula Bakal Diperkenalkan
KANGAR, 16 Februari 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bakal memperkenalkan konsep Raya Rahmah menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Portal tempatan melaporkan, konsep ini bakal memberi peluang buat golongan kurang berkemampuan menyediakan kelengkapan perayaan seperti perhiasan rumah, baju raya dan barangan lain yang diperlukan mereka.
Nama-nama syarikat yang akan terlibat dalam usaha ini dijangka diumumkan minggu hadapan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada pemberita selepas Pelancaran Jelajah Menu Rahmah Perlis di Restoran Bekwoh, pada Selasa.
BACA JUGA: Menteri Umum Tiada Kemungkinan Pemansuhan & Penghapusan Hutang PTPTN Untuk B40
BACA JUGA: Tiada Gempa Bumi Sabah Sarawak, METMalaysia Laksana Pemantauan Berterusan
BACA JUGA: Namewee Gesa ‘Halalkan’ Pelacuran & Polis Tangkap Pencuri, Pembunuh Jika Berani
“Kita masih dalam peringkat rundingan kerana pihak terlibat juga turut meminta tempoh untuk perbincangan dan dalam minggu hadapan, mereka akan dipanggil semula untuk nyatakan secara spesifik bentuk tawaran bagi konsep Raya Rahmah ini.”
Mengulas tentang Baju Raya Rahmah, Datuk Seri Salahuddin berkata, pihak syarikat atau gedung yang akan terlibat mungkin akan memfokuskan kepada baju raya asas melibatkan pakaian wanita dan lelaki serta anak-anak.
Dalam laporan berbeza, Menteri KPDN itu memaklumkan bahawa restoran makanan segera McD juga akan terlibat sama dalam Program Menu Rahmah yang dilancarkan KPDN dengan pihak restoran itu akan memberikan keputusan mengenai menu bersesuaian pada minggu depan.
“…mereka nak bincang dari segi menu sebab pasal dia syarikat multinasional, jadi nak kait dengan Rahmah itu (perlu) selesaikan dari segi peraturan saja…secara prinsipal apabila mereka datang berjumpa kami itu, mereka menyatakan kesediaan untuk sertai Menu Rahmah ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis sumbangan kembali ke sekolah dan program KPDN Kedah di Kodiang, Kedah, semalam.