“Rahmah”, Pareto & Coasean – Hezri Sardi
Ronaldo Coase dapat Nobel Ekonomi pada 1991. Apa yang terkandung dalam cadangan dia kemudian dipanggil “Coase Theorem”.
Dalam ekonomi, sesuatu yang tak baik dipanggil “Externality”. Matlamat penyelesaian ekonomi ialah untuk mengurangkan “Externality”.
Pengagihan sumber ekonomi diperlukan bagi mengurangkan “Externality” tadi.
Tetapi pada masa yang sama, pengagihan sumber mesti tak menjejaskan hukum Pareto.
Hukum pareto yang kita selalu dengar iaitu kononnya “90% hasil berasal daripada 10% tindakan” adalah mengarut. Hukum Pareto sebenar berasal bulat-bulat daripada Vilfredo Pareto iaitu :
Apabila pengagihan sumber dibuat,
-Ada pihak dapat manfaat.
-Pihak lain tidak mudarat.
Apabila ini dicapai, keadaan dipanggil “Pareto efficient”.
Tapi apabila pengagihan sumber dibuat,
-Ada pihak dapat manfaat.
-Ada pihak dapat mudarat.
Ini dipanggil tidak cekap (Non pareto efficien).
Menurut Pareto, selagi tiada pihak rugi, sebarang pengagihan sumber adalah “Pareto efficient”.
Coase dapat Nobel Ekonomi kerana idea pengagihan sumber melalui “trade in” di kalangan orang ramai bagi mencapai keadaan Pareto tadi. Siapa yang agihkan sumber? Kerajaan. Maknanya Coase Theorem berkaitan campur tangan kerajaan dalam ekonomi.
Campur tangan kerajaan dalam ekonomi umumnya ada 2 bentuk:
1) Pigouvian
2) Coasean
Pigouvian maknanya kerajaan sama ada secara langsung kenakan cukai dan sekatan atau beri subsidi.
Coasean pula kerajaan campur tangan secara tak langsung. Walau bagaimanapun, dalam dunia sebenar dasar Coasean dan Pigouvian ini selalunya bercampur. Tiada Coasean yang betul-betul Pigouvian.
Dalam isu campur tangan kerajaan, pertama mesti ada Externality atau “benda buruk” yang cuba dikurangkan. Menurut Coase, kerajaan akan bagi HAK kepada seorang individu untuk uruskan Externality itu. Kedua, Individu yang dapat hak itu boleh jual (trade-in) HAK itu kepada individu lain. Semakin banyak HAK itu bertukar tangan, maka Externality itu akan berkurang.
Baru-baru ini, kerajaan perkenalkan Menu “Rahmah”. Rakyat boleh beli makanan bermasak “murah” di kedai makan tertentu, terutamanya pasar raya Mydin. Ini bertujuan mengurangkan isu makanan bermasak mahal. Kita agak ini campur tangan kerajaan dan kemungkinan besar kerajaan keluar duit kepada kedai makan yang jual menu “Rahmah”. Maknanya, ada subsidi kerajaan. Pigouvian.
Tapi oleh sebab menu Rahmah tak diberi kepada semua kedai makan. Ia semacam HAK yang diberi kepada “kedai-kedai tertentu”. Jadi, ia juga ialah Coasean.
Tapi, menurut Coase Theorem, HAK untuk jual menu Rahmah mesti boleh dipindah ke kedai makan lain, bukan kedai tertentu saja.
Kedua, kebanyakan orang tak berada dekat dengan kedai menu Rahmah. Hampir semua rakyat pastinya beli di kedai yang tak jual menu “Rahmah”. Satu lagi, banyak lagi kedai makan yang tak jual menu Rahmah. Menu Rahmah adalah mudarat kepada kedai makan lain kerana mereka tak dapat manfaat daripada bantuan Kerajaan daripada “Rahmah”. Pendek kata, pengagihan sumber menyebabkan banyak orang mudarat walaupun ada sebahagian kecil yang dapat manfaat. Ia menyalahi ideal Coase Theorem kerana menu “Rahmah” jelas sekali tidak “Pareto efficient”!
Kalau nak buat betul-betul, sama ada kena betul-betul Pigouvian iaitu bagi subsidi kepada semua kedai, bukan setakat Rahmah..atau betul betul Coasean, bolehkan HAK jual Rahmah dipindah dengan mudah antara satu kedai dengan kedai lain.
Kalau nak betul-betul subsidi secara Pigouvian, adalah tak cekap kalau bagi ke kedai makan. Lagi baik beri subsidi kepada pembekal bahan mentah dalam rantaian bekalan. Tapi tak kisahlah subsidi ke kedai atau pembekal, ini tak selari dengan dasar Kerajaan yang kononnya nak subsidi bersasar kerana nak berjimat cermat.
Hezri Sardi
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my