Pekerja McDonald’s Sumbat Babi, CAIR Ambil Tindakan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
MASSACHUSETTS, 03 Jun 2022 – Beberapa orang pekerja McDonald’s secara sengaja telah memasukkan daging babi dalam sandwich ikan yang telah dipesan oleh seorang Muslimah buat salah seorang anaknya yang berusia 7 tahun, menurut kenyataan media sebuah pertubuhan Islam pada hari Rabu yang lalu.
Pertubuhan tersebut, Majlis Hubungan American-Islamic (CAIR) kemudian mengambil langkah mewakili wanita tersebut membuat aduan di Suruhanjaya Massachusetts Menentang Diskriminasi.
“Semua orang tahu bahawa Islam melarang umatnya daripada memakan babi,” menurut aduan tersebut. ” Pekerja-pekerja McDonald’s sengaja menambahkan babi dalam makanan si pengadu sebagai usaha untuk menyinggung, memalukan, dan memberi tekanan kepada si pengadu dan anak-anaknya yang kecil.”
Aduan ini adalah merupakan langkah pertama bagi mendapatkan ganti rugi dalam bentuk kewangan, tegas peguam CAIR Barbara Dougan.
Barbara berharap kes ini boleh membuka mata McDonald’s untuk melatih para pekerjanya dengan lebih baik bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang pada masa hadapan.
“Diskriminasi agama di tempat awam bukan sahaja tidak sah, juga secara moralnya patut dikutuk,” katanya lagi.
Pengalaman ngeri itu telah membuatkan salah seorang anak wanita itu bertanya kepada ibunya, adakah “mereka membenci kita”.
“McDonald’s membuatkan anak-anak saya dan saya berasa tidak dikehendaki dan tidak bernilai dengan sengaja menyumbat sandwich ikan dengan babi yang penuh tanpa sebarang sebab melainkan untuk menghukum kami kerana iman dan pegangan agama kami,” keluh ibu itu, Ghadir Alahmar.
“Ini benar-benar melukakan kami. Anak-anak saya kini tertanya-tanya adakah mereka dialu-alukan di negara mereka sendiri. Mereka tanya saya, ‘Adakah mereka benci kami?’ Bagaimana seorang ibu patut jawab soalan sebegini?”