Tempatan

Pengumuman Tarikh Hari Raya Haji Malam Ini

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

RABU, 29 Jun 2022 – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah meminta umat Islam untuk bersabar dan menunggu pengumuman rasmi pada malam ini daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung tarikh sebenar Hari Raya Aidiladha.

Walaupun setakat ini tarikh perayaan itu masih kekal lagi seperti diwartakan dalam takwim rasmi kerajaan iaitu pada 10 Julai depan namun, beliau tidak mahu mengambil tindakan terburu-buru dalam isu penetapan tarikh Aidiladha kerana segala-galanya boleh berubah pada petang pencerapan hari ini, kata Datuk Dr. Luqman Abdullah.

“Saya pun tidak berani cakap mengenai tarikh sebenar Aidiladha ini, biarlah kita tunggu pada petang tarikh berkenaan sebab nanti akan timbul pelbagai spekulasi lain pula.”

“Saya ambil iktibar dengan apa berlaku ketika Hari Raya Aidilfitri awal Mei lalu yang tanpa disangka berlaku perubahan tarikh sehari lebih awal kerana ada lokasi nampak hilal,” tambah beliau lagi.

Beliau merujuk insiden pada petang 1 Mei lepas apabila pasukan pencerapan di Labuan dapat melihat imej anak bulan Syawal yang memenuhi kriteria baharu imkanur rukyah ditetapkan sekaligus menyaksikan umat Islam di Malaysia tidak perlu berpuasa genap 30 hari.

Pada 2 Mei 2022, umat Islam dikejutkan dengan pengumuman hari raya Aidilfitri sehari lebih awal berbanding Selasa, 3 Mei yang dijangka sebelum ini selepas pengumuman pengisytiharan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

“Setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, maka adalah dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh hari raya puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Isnin, 2 Mei 2022.”

Leave a Reply

Back to top button