Tempatan

Rider Mcdonald’s Dilindungi PERKESO

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 18 Oktober 2022 – Bagi melindungi semua penghantar makanan melalui perkhidmatan McDelivery, McDonald’s kini menjadi syarikat makanan dan minuman (F&B) pertama di Malaysia yang menjalin kerjasama dengan PERKESO menerusi caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Menurut Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Dato’ Azmir Jaafar, McDonald’s dari semasa ke semasa akan mencari jalan untuk mempertingkatkan manfaat atau pemberian insentif kepada para penghantar makanan mereka.

“Walaupun mereka bekerja sendiri mengikut kesesuaian masa dan keperluan masing-masing, mereka adalah barisan hadapan yang memastikan keberkesanan perkhidmatan McDelivery kami, yang kini merupakan antara salah satu segmen perniagaan yang menjana jumlah jualan tertinggi untuk syarikat.”

Oleh yang demikian, McDonald’s Malaysia mengambil keputusan untuk menaja caruman tahun pertama berjumlah RM250,000 bagi memastikan kesemua 5,000 penghantar makanannya dilindungi di bawah SKSPS.

“Segala manfaat dan insentif termasuklah tajaan melalui SKSPS ini merupakan tanda penghargaan syarikat terhadap kerja keras mereka bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menikmati hidangan McDonald’s kegemaran.”

Berdasarkan kenyataan syarikat tersebut, langkah murni ini membolehkan penghantar makanan McDonald’s yang merupakan Orang Bekerja Sendiri (OBS) dan tergolong dalam kalangan 20 sektor informal di negara ini mendapat perlindungan daripada bencana pekerjaan sendiri termasuk kemalangan dan penyakit pekerjaan sendiri.

Dalam pada itu, SKSPS juga membolehkan OBS menikmati lapan faedah PERKESO seperti Faedah Perubatan, Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pengurusan Mayat, Kemudahan Pemulihan Jasmani atau Vokasional dan Faedah Pendidikan.

Jalinan kerjasama ini juga antara lain akan memanfaatkan sepenuhnya bidang kepakaran kedua-dua belah pihak termasuk menerusi perkongsian ilmu dan penyampaian perkhidmatan masing-masing bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai perlindungan keselamatan sosial secara berterusan demi kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: