Pemandu, Pemilik Stesen Minyak Ditahan Seleweng Minyak Diesel Bersubsidi Ke Pasaran Gelap
MANJUNG, 03 Februari 2024 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak telah menahan seorang pemandu lori dan pengusaha stesen minyak yang didakwa menyeleweng diesel bersubsidi ke pasaran gelap.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang dijalankan pada Khamis mendapati sindiket terbabit telah mengubah suai lori tangki bagi mengisi minyak diesel.
“Melalui risikan dan pemantauan yang dijalankan didapati, modus operandi sindiket ini adalah dengan membuat pengisian minyak diesel ke tangki asal lori muatan 3 tan. Lori itu diubah suai dengan sambungan paip terus ke ‘square tank’ yang disembunyikan di atas lori.”
“Pengisian dianggarkan sebanyak 500 hingga 1,000 liter sekali pengisian, di stesen minyak tersebut,” katanya.
Kamalludin berkata, siasatan mendapati, pemandu kenderaan itu akan menjual minyak diesel ke pasaran gelap, yang disyaki melibatkan beberapa syarikat di sekitar Pantai Remis, pada harga lebih tinggi iaitu pada harga RM3 hingga RM4 per liter.
“Hasil pemeriksaan turut menemui anggaran sebanyak 3,500 liter cecair disyaki minyak diesel di empat ‘square tank’ yang berada dalam lori.”
“Cecair yang disyaki minyak diesel serta kenderaan lori bersama beberapa peralatan lain seperti mesin pam, wayar hose dan lain-lain telah disita untuk tindakan selanjutnya dengan anggaran jumlah RM83,125.”
Stesen minyak yang disyaki terlibat juga akan disiasat di bawah peruntukan sedia ada, termasuk syor pembatalan Lesen CSA Runcit barang kawalan minyak diesel jika didapati bersalah.
Sehubungan itu katanya, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.