Antarabangsa

Agong Ketua Negara ASEAN Pertama Terima Darjah Tertinggi Turkiye

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

ANKARA, 17 Ogos 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima darjah tertinggi kerajaan Turkiye, Turkish Order of the State sempena Lawatan Negara ke Turkiye.

Anugerah itu menjadikan Baginda Ketua Negara ASEAN pertama menerima anugerah berprestij tersebut.

Selain Seri Paduka Baginda, Raja Arab Saudi Raja Salman Abdul Aziz, Raja Belgium Raja Philip, Emir Kuwait Sheikh Sabah Al-Ahmad Al- Jaber Al-Sabah dan Presiden Tunisia Beji Caid Essebsi juga pernah menerima anugerah pingat tersebut di bawah pimpinan Erdogan, lapor sebuah portal.

Dalam majlis sama, Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan anugerah darjah tertinggi negara Darjah Utama Seri Mahkota Negara (D.M.N) kepada Erdogan.

Darjah kebesaran D.M.N dikurniakan kepada Sultan atau Raja yang memerintah negeri namun darjah kebesaran itu juga boleh dikurniakan secara kehormat kepada warga asing serta orang paling dihormati.

Terdahulu, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong berkenan menghadiri Jamuan Negara bersama Erdogan dan isteri Emine Erdogan di Istana Presiden selepas Sambutan Negara.

Semalam, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat berangkat tiba di Ankara untuk Lawatan Negara ke Turkiye selama tujuh hari.

Turut berangkat anakanda Seri Paduka Baginda YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Lawatan Negara oleh Seri Paduka Baginda itu bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara sekali gus melambangkan keakraban serta keteguhan jalinan persahabatan sejak 1964.

Selain itu, lawatan itu juga mencerminkan keprihatinan Seri Paduka berdua terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia dan kelestarian prestasi pelaburan serta kepentingan negara di Turkiye.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: