MoU: Demi Rakyat, Agong Harap Kemelut Politik Berakhir
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA LUMPUR, 15 September, 2021 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan kemelut politik dapat diakhiri dengan termeterainya MoU Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dengan Pakatan Harapan baru-baru ini.
Seri Paduka Baginda juga berharap Ahli-Ahli Dewan Rakyat dapat mengenepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani pandemik COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara.
Menerusi kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan hari ini, Seri Paduka Baginda mengulangi pandangan Baginda bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan pada ketika negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
Ia selaras dengan pendirian Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu akan pentingnya pembentukan Kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis.
Seri Paduka Baginda turut menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara.
“Oleh hal yang demikian, Seri Paduka Baginda menasihati Ahli-ahli Dewan Rakyat supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung,” menurut kenyataan itu lagi.
MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang termeterai pada 13 September lepas merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan COVID-19, Transformasi Pentadbiran, Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.