NGO

SANTUNI RAJA DENGAN ILMU RAJA – Suzana Hj Othman

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkiniS

Sollu‘alan Nabiy

10 JUN 2021

1. Sesungguhnya insan dicipta oleh Allah SWT dengan maksud untuk mengenali hakikat DiriNya sebagai Tuhan Maha Pencipta yang Maha Esa dengan segala sifat dan af’alNya, serta menyembah, yakni melaksanakan ibadah kepadaNya secara zahir dan batin sepanjang persinggahan manusia di muka bumi ini sehingga dikembalikan ke kampung akhirat yang asal dan kekal abadi.

2. Maha Agong Allah yang hakikatnya mengurus alam dan makhluk, namun diciptakanNya para malaikat sebagai ‘perantaraNya’ untuk melaksanakan tugas tersebut dengan penuh keteraturan, tersusun dan bersistem. Maha Suci Allah SWT dari memerlukan para penolong, namun hakikatnya Dia menciptakan para malaikat untuk mengurus alam sebagai menzahirkan keagungan, ketinggian, kemuliaan dan kebesaran KERAJAANNYA, dan daripada bilangan malaikat yang tidak terhitung jumlahnya untuk mengurus alam, umat Islam diwajibkan untuk mengetahui 10 malaikat dan tugasan mereka, iaitu Jibrail, Izra’il, Israfil Mikail, Rakib, Atid, Munkar, Nakir, Ridhwan dan Malik.

3. Manakala urusan mengurus dan mentadbir manusia di bumi juga adalah urusan Allah SWT, tidak ada apa jua pun yang terlepas dari ilmuNya. Banyak contoh dalam al-Quran menjadi bukti bahawa urusan mentadbir manusia merupakan urusan Allah, contohnya yang berkaitan dengan pemerintahan, perundangan, pendidikan, perdagangan, termasuk yang berkaitan dengan jihad dan peperangan, dan sebagainya. Maksud ‘urusan dan pentadbiran Allah’ di sini, adalah bagaimana mengurus dan mentadbir dunia dan manusia sesuai dengan kehendakNya sebagai Tuhan Maha Pencipta.

4. Ringkasnya, sebagaimana para malaikat yang ditugaskan sebagai ‘perantara’ Allah SWT untuk mengurus alam, begitu jugalah Dia memilih dari kalangan hambaNya untuk menjadi penguasa bagi mentadbir dunia dan manusia, dengan berpandukan kepada perintahNya, disebut sebagai Khalifah Allah. Hal ini akan dipertanggungjawabkan di Mahkamah Allah nanti, iaitu apakah Sang Penguasa, dalam posisi sebagai ‘perantara’ atau ‘bayangan Allah’ dalam urusan mentadbir urusan manusia, telah melaksanakan amanah tersebut sebagaimana yang diperintahkanNya.

5. Allah SWT memerintahkan sebahagian hambaNya dari kalangan manusia untuk mengurus, mentadbir serta memakmurkan dunia mengikut kehendakNya, kerana walaupun dunia merupakan tempat persinggahan sementara, tetapi adalah sebuah persinggahan yang maha penting, kerana di sinilah tempat ‘mengumpul perbekalan’ yang akan dijadikan hujjah di Mahkamah Agong Allah SWT di Hari Pengadilan kelak, sebagai penentu buruk baik nasib manusia. Maka dunia perlu diurusi dengan cermat dan sebaik mungkin, supaya menjadi tempat yang sejahtera, selamat dan selesa bagi umat melaksanakan tanggungjawab ‘mencari bekal’, iaitu menyempurnakan urusan ubudiyah terhadap Khaliq.

6. Persoalannya, di manakah Sang Penguasa mendapatkan ‘petunjuk yang hidup’ sebagai menterjemah perintah-perintah Allah di dalam al-Quran berkaitan urusan mentadbir kehidupan [email protected] rakyat jelata dalam kerajaannya? Jawapannya ada dalam sunnah Rasulullah SAW ketika baginda mula melaksanakan tanggungjawabnya sebagai petunjuk Allah di Kota Mekah, dan kemudian membangunkan asas-asas peradaban Islam yang awal di Kota Madinah. Dan petunjuk-petunjuk ini juga wujud di zaman Khulafa ‘ur Rashidin (disebut sebagai ‘sunnah khulafa’ur rasyidin),

6. Nilai -nilai yang membangunkan asas-asas ketamadunan dan peradaban Islam daripada benih yang ditanam oleh Rasulullah SAW dan Khulafa’ur Rashidin seterusnya dikembangkan oleh ulama salafus soleh di era Khaira Quroon, belakangan oleh alim-ulama muktabar dalam daulah-daulah Islamiyyah yang menebar di seluruh dunia, menzahir serta menterjemahkan bentuk-bentuknya mengikuti peredaran masa, tempat dan zaman, namun tetap bertali temali kepada nilai-nilai asas tersebut.

7. Paling penting, panduan tersebut telah diilmiyahkan dalam bentuk penulisan Islam melalui satu genre yang dipanggil sebagai ‘karya-karya menasihati raja-raja’ (Nasihatul Muluk), ‘siasat para raja’ (Siyasat ul-Muluk), ‘urusan pentadbiran raja’ (Tadbir al-Muluk) dan ‘adab siasah kesultanan’ (al-Adab al-Siyasi al-Sultani) (rujuk Auni Hj Abdullah, 2015)

8. Menurut Auni lagi, secara keseluruhannya hasil penulisan ini adalah nasihat serta bimbingan kepada para raja dan pembesar mengenai cara-cara pemerintahan negeri dan ketatanegaraan mengikut lunas-lunas ajaran Islam. Beliau juga menyebut bahawa genre penulisan ini timbul dalam sejarah penulisan Islam sebagai suatu manifestasi daripada usaha para ulama dan penulis untuk membina tamadun Islam khususnya dalam usaha membentuk tradisi serta budaya pemerintahan dengan ciri-ciri keislaman.

9. Hasil penulisan ini jika diteliti dan disoroti dengan mendalam, terdapat di dalamnya saranan-saranan yang mengungkap falsafah politik Islam. Hal ini kerana ia mengupas teori-teori politik dan pemerintahan Islam dalam aspek hubungan negara dengan agama, soal keadilan, hak rakyat atau individu, aspek-aspek perundangan dan kepimpinan yang menyentuh tentang peranan khalifah, imam dan sultan, serta juga fungsi para pembesar seperti wazir dan kakitangan pemerintah di peringkat bawahan yang lain (Auni Hj Abdullah, 2015).

10. Antara tajuk berkaitan ketatanegaraan yang dihasilkan oleh agamawan dan ilmuan Islam adalah Siyasat al-Muluk oleh Nizam al-Muluk, Nasihat al-Muluk oleh Imam al-Ghazali, al-Ahkam al-Sultaniah oleh Abul Hassan Ali al-Mawardi, kitab al-Siyasah oleh Ibn Hizam, al-Siyasat al-Syar’iyyah oleh Ibn Taimiyyah dan banyak lagi. Malahan genre penulisan seperti ini terus berkembang keluar dari dunia Arab seiring dengan berkembangnya daulah-daulah Islamiyyah di seluruh dunia seperti di Andalusia, Moghul, dan alam Melayu.

11. Penulisan ilmu ketatanegaraan alam Melayu berjalan seiring dengan wujudnya hubungan akrab di antara raja dengan ulama penasihat, seperti Syed Abdul Aziz dan Qadhi Menawar dengan sultan-sultan Melaka, Syeikh Yusuf Makassar dengan Sultan Ageng Tirtayasa, Syeikh Abdul [email protected] Tok Pulau Manis dengan Sultan Zainal Abidin Terengganu, Sheikh Abdul Jalil dengan Sultan Muhammad Jiwa Kedah, Tengku Mahmud Zuhdi dengan Sultan Alauddin Sulaiman Syah Selangor dan ramai lagi. Antara penulisan ilmu ketatanegaraan Melayu yang terkenal adalah Tajus Salatin, Bustanus Salatin, Thamarat al- Muhimmah, dan banyak lagi.

12. Wal hasil, urusan pentadbiran kerajaan-kerajaan Islam dan umat Islam telahpun ada panduannya yang ‘bersanad’, diilmiyahkan sekaligus dipraktikkan oleh alim ulama bermula dari jazirah Arab sehinggalah ke dunia Melayu di hujung timur. Penulisan ini bukan sekadar teori semata-mata, tetapi ramai daripada penulisnya adalah mereka yang juga berpengalaman dalam pemerintahan seperti golongan pembesar, penasihat raja, birokrat dan penulis rasmi (katib) dalam jentera kerajaan seperti al-Ghazali, al Mawardi, al Turtushi, Syeikh Nuruddin al Raniri, Raja Ali Haji dan ramai lagi, mempunyai perbendaharaan ilmu serta pengalaman dalam urusan menyantuni raja-raja yang pelbagai karenah, termasuk raja-raja yang zalim, pengkhianat di kalangan pembesar serta rakyat yang memberontak.

13. Maka, dalam konteks pengalaman sistem beraja di tanah air kita dewasa ini, hakikatnya untuk membimbing, menasihati, menyantuni hatta menegur golongan istana yang pelbagai ragam dan kerenah kerana mereka juga manusia yang tidak terlepas dari khilaf, sebaiknya ambillah pedoman daripada perbendaharaan ilmu ketatanegaraan yang diwariskan oleh alim ulama muktabar yang sanad ilmunya sambung menyambung dari tok guru kepada tok guru sehingga sampai kepada Salafus Soleh, kepada Khulafa’ ur Rasyidin, kepada Rasulullah SAW, kepada Malaikat Jibrail langsung Allah Rabbul Jalil.

14. Kerana urusan pentadbiran dan pengurusan manusia dan bumi adalah hakikatnya dikembalikan kepada Allah SWT, yang mengamanahkan urusan tersebut kepada para Penguasa termasuklah Sang Raja dan para wazir sebagai pelaksana fungsi kuasa Raja, dengan petunjuk yang telahpun disempurnakan asas ilmu dan amalannya oleh alim ulama ahlus sunnah wal jamaah sebagai warathul anbiya’, dikenali sebagai ilmu ketatanegaraan Islam, atau Fiqh Daulah @ Siyasah Syar’iyyah.

15. Tidak ada keperluan untuk kita mengambil petunjuk dan bimbingan ketatanegaraan bersumber daripada peradaban dunia Barat atau yang lain daripada peradaban Islam, yang mana peradaban Barat juga banyak menghasilkan pemikiran dan penulisan terkait ilmu ketatanegaraan, namun ianya tidak ada kena mengena dengan pengalaman peradaban dunia Islam. APATAH LAGI TIDAK DITIMBANG MENGIKUT UKURAN, NILAI DAN NERACA ISLAM. Mengkaji sejarah peradaban dan ketatanegaraan dunia Barat atau yang lain sebagai menambah ilmu, membuat kaji banding lalu mengambil iktibar dan teladan adalah suatu yang terpuji, tetapi bukan dalam konteks untuk meniru cara mereka secara totok tanpa disaring terlebih dahulu oleh pandangan alam Islam, kerana ilmu mereka telah terputus dari pemikiran dan faham agama kita (faham dikotomi).

16. Apa jua hal yang terkait fungsi kuasa, peranan serta adab Raja-raja Melayu, ilmunya sudah pun termasuk dalam ketatanegaraan dunia Melayu yang berteraskan hukum-hakam Islam, dibangunkan semenjak zaman kesultanan tradisional. Manakala pengalaman mengaplikasikannya sudah wujud dalam perkembangan peradaban kesultanan Melayu dari zaman kerajaan Melaka dahulu sehingga tetap bertali-temali dan terpasak esensinya dalam Perlembagaan Persekutuan berteraskan prinsip watan negara kita pada hari ini. Ianya termasuk yang berkaitan dengan hak raja dan hak rakyat.

17. Apa yang diperlukan adalah mengumpul fuqaha yang muktabar, dan golongan yang pakar dalam bidang sejarah, peradaban dan perlembagaan serta lain-lain yang berkaitan, untuk menjalingabungkan ilmu-ilmu serta kepakaran mereka demi memperbanyakan penulisan ilmu ketatanegaraan atau fiqh kesultanan dan aplikasinya dalam konteks masa kini, terutama sebagai panduan untuk menyikapi dan menyantuni pelbagai cabaran sosiopolitik masa kini, termasuk apa jua cabaran yang bersumber dari golongan eksekutif, legislatif dan judisiari, hatta Raja-Raja Melayu sekalipun untuk kembali memahami dan mempraktikan perkara AMANAH KHALIFAH ALLAH sebagai prinsip sebenar kedaulatan dan perlembagaan negara ini sebagai cerminan kepada Sumpah Rabbani Yang di-Pertuan Agong untuk menjaga Islam, berlaku adil serta melindungi kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan.

18. Akhir kalam, untuk menyantuni seorang raja Melayu dalam konteks politik kenegaraan Malaysia hari ini, belajarlah asas ilmu ketatatanegaraan Islam dan Melayu (faham ahlus sunnah wal jamaah) yang diwariskan dalam kitab-kitab agama dan turath, bukan dengan mengambil petunjuk secara totok daripada neraca ilmu ketatanegaraan Barat tanpa saringan fiqh daulah, dan kemudian cuba menyikapi cabaran sosiopolitik kenegaraan dengan ilmu yang batil tersebut, umpama memberi racun dan bukan penawar kepada pesakit yang sedang menderita.

Wallahu ‘alam bissawab

Suzana Hj Othman

Pautan Asal: https://www.facebook.com/373882256093011/posts/2021038388044048/

*Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Samudera.my*

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button