Tempatan

Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Wakili Agong Ke Majlis Perasmian Dua Binaan Ikonik Pahang

KUANTAN: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah telah berkenan berangkat ke perasmian Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra di Kuantan, semalam.

Baginda mewakili Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli ke majlis perasmian dua binaan ikonik Pahang itu.

Tepat jam 9 malam semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Menara Kuantan 188 dan Jambatan Putra, Tanjung Lumpur.

Seri Paduka Baginda menyempurnakan perasmian berkenaan menerusi rakaman video yang dimainkan di skrin gergasi di pekarangan Menara Kuantan 188.

Dalam majlis itu, Tengku Hassanal bersama kekanda dan adinda baginda turut berkenan menyaksikan perarakan 11 bot berhias oleh agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyusuri Sungai Kuantan, yang terletak bersebelahan Menara Kuantan 188.

Turut hadir adalah Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Kanan (Kerja Raya), Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, serta Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Baidzawi Che Mat.

Tidak lama selepas majlis perasmian, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kuantan memaklumkan bahawa Jambatan Putra telah dibuka kepada lalu lintas.

Menara Kuantan 188 merupakan mercu tanda baharu bandar Kuantan manakala Jambatan Putra pula merupakan jambatan kedua di Tanjung Lumpur.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button