Tempatan

Lawatan Agong Kukuhkan Hubungan Dua Hala Malaysia-Turkiye Sejak 1964

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

TURKIYE, 16 Ogos 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat berangkat tiba di Ankara untuk Lawatan Negara ke Turkiye bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara sekali gus melambangkan keakraban serta keteguhan jalinan persahabatan sejak 1964.

Selain itu, Lawatan Negara oleh Seri Paduka Baginda itu mencerminkan keprihatinan Seri Paduka berdua terhadap kesejahteraan rakyat Malaysia dan kelestarian prestasi pelaburan serta kepentingan negara di Turkiye.

Dalam lawatan selama tujuh hari bermula semalam itu, Seri Paduka Baginda berdua dijadual berangkat menghadiri Majlis Sambutan Negara dan mengadakan pertemuan dengan Presiden Republik Turkiye Recep Tayyip Erdogan di Istana Presiden serta berangkat menghadiri Majlis Santapan Negara yang dianjurkan Presiden dan isteri, Puan Yang Terutama Emine Erdogan.

Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga dijadual berangkat melawat syarikat pertahanan Turkiye, FNSS Defence Systems A.S dan Turkish Aerospace Industries, manakala Raja Permaisuri Agong dijadualkan berangkat melawat Muzium Goreme di Cappadocia dan Ankara Advance Technical Institute For Girls.

Pesawat khas yang membawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong serta delegasi mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga, Ankara pada jam 5.30 petang semalam, waktu tempatan.

Seterusnya, Seri Paduka Baginda berkenan melintasi Kawalan Kehormat Setempat Kor Tentera ke-4 serta Komander Garrison Ankara dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan bertitah ‘Merhaba Asker‘ (Sejahtera Askar) kepada Kawalan Kehormat Setempat tersebut.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut oleh Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay, Duta Besar Malaysia ke Turkiye Tuan Yang Terutama Sazali Mustafa Kamal dan Duta Turkiye ke Malaysia Tuan Yang Terutama Emir Salim Yuksel.

Turut berangkat anakanda Seri Paduka Baginda YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: