Tempatan

Tahniah Dan Teruskan Perjuangan Di Kejohanan Piala Asia 2023! – Agong

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2022 – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada skuad bola sepak kebangsaan dan barisan kejurulatihan atas kejayaan mara secara merit ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Tahniah dan teruskan perjuangan di kejohanan Piala Asia 2023!” demikian kenyataan yang dipetik dari laman Facebook Istana Negara hari ini.

Menurut kenyataan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa syukur dan suka cita atas kejayaan ini serta juga dengan semangat perjuangan yang telah dipamerkan di pusingan kelayakan yang berakhir semalam.

Seri Paduka Baginda juga turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada para penyokong atas sokongan padu yang telah diberikan kepada skuad kebangsaan dalam perjuangan mengakhiri penantian selama 42 tahun.

Di akhir kenyataan, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga pencapaian ini menjadi suntikan semangat buat skuad kebangsaan untuk lebih bekerja keras untuk mencapai hasil yang terbaik di kejohanan Piala Asia 2023 kelak.

“Seri Paduka Baginda mendoakan semoga skuad kebangsaan memperoleh kejayaan dan melakarkan sejarah baru di kejohanan tersebut,” kata Istana Negara.

Skuad Harimau Malaya semalam berjaya menamatkan kemarau penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas menundukkan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Kemenangan itu menyaksikan skuad pasukan bola sepak kebangsaan kita menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah, namun sudah 42 tahun pasukan negara gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.

Leave a Reply

Back to top button