Tempatan

Agong Titah 3 Kunci Kepada Kekuatan, Keharmonian, Kemakmuran Dan Kesejahteraan Negara

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 31 Ogos 2022 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa kesepaduan sosial, integrasi nasional dan perpaduan antara kaum adalah kunci kepada keharmonian, kemakmuran dan kesejahteraan negara.

Tiga perkara itu juga adalah kunci kepada kekuatan bagi menghadapi apa juga cabaran yang akan datang, bersesuaian dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”, titah Seri Paduka Baginda dalam ucapan selamat menyambut Hari Kebangsaan kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Seri Paduka berpandangan bahawa sekiranya rakyat bersatu dan tahu peranan masing-masing serta berpegang teguh kepada kunci itu, maka kita akan mampu membendung segelintir golongan yang bersikap ekstremis yang menabur fahaman perpecahan serta menyemarak api perkauman bagi mencetuskan suasana tidak aman dalam negara demi kepentingan peribadi.”

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan juga berkata, Seri Paduka Baginda turut mengingatkan rakyat agar sentiasa berwaspada terhadap `musuh dalam selimut’ yang boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat dan menggugat kestabilan negara kerana segala fitnah dan hasutan mereka bercanggah dengan prinsip Rukun Negara yang juga kunci kepada keharmonian dan perpaduan kukuh.

“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda bertitah adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk bukan sahaja memelihara dan mempertahankan keharmonian yang telah dikecapi selama ini, malah berusaha menyemarakkannya sesama kita sebagai sebuah Keluarga Malaysia.”

Selain itu, Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk mengingati dan menghargai pejuang dan patriot kemerdekaan negara serta anggota pasukan keselamatan yang berkorban sehingga berjaya menyelamatkan negara daripada belenggu penjajah dan seteru negara.

Mengakhiri kenyataan Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah juga mendoakan agar Malaysia terus berada dalam rahmat dan perlindungan Allah SWT serta terus dilimpahi dengan keberkatan rezeki, kemakmuran, kesejahteraan serta keamanan dan perpaduan yang berkekalan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: