Tempatan

Terbongkar: Komplot Naikkan Harga Dedak Ayam Ketika Kemelesetan Ekonomi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PETALING JAYA, 02 Jun 2022 – Sekumpulan syarikat gergasi dipercayai berkomplot sesama sendiri dalam menaikkan harga dedak ayam kepada penternak kontrak yang akan disasarkan seawal September ini.

Menurut pendedahan daripada sumber dalaman, terdapat empat syarikat gergasi yang berkomplot untuk menaikkan harga dedak kepada RM180 bagi satu beg seberat 50 kilogram (kg) dan setakat 31 Mei lalu, pihaknya hanya membayar RM124 hingga RM130 sahaja untuk satu beg dedak kepada pihak kartel.

Katanya, penternak kontrak akan mengalami kenaikan harga dedak sebanyak 40 peratus sekiranya konspirasi dari pihak kartel terbabit berjaya.

“Kartel usah temberang memberi alasan, mereka menaikkan harga dedak sebab harga jagung bijian di pasaran terjejas akibat konflik Russia-Ukraine.”

“Sejak bila Malaysia import jagung dari Ukraine? Sedangkan pengeksport utama jagung bijian ke Malaysia ialah Argentina, Brazil dan Amerika Syarikat (AS). Jika ada peningkatan sekalipun, tak akan begitu drastik sehingga mahu naikkan harga dedak 50 kilogram sebanyak 40 peratus?” soalnya.

Lapor Utusan, terdapat sumber yang mengatakan bahawa konspirasi tersebut adalah bagi menghapuskan penternak-penternak kecil supaya syarikat-syarikat gergasi tersebut dapat menguasai rantaian industri.

“Kartel ada modal. Jadi bila kumpulan penternak kontrak yang kecil-kecil ini dihapuskan, maka mereka boleh gunakan modal sendiri untuk membangunkan broiler sendiri. Dengan itu, berkuasalah mereka ke atas seluruh rantaian industri,” kata sumber tersebut.

Malah, sumber berlainan turut mengatakan bahawa rungutan berkenaan harga siling ayam di pasaran yang berharga RM8.90 terlalu rendah adalah datang dari desakan pihak kartel dan bukan daripada penternak.

“Sejak bila penternak ada masa ambil pusing soal harga siling ayam di pasaran? Penternak kontrak cuma bela ayam 30 ke 35 hari, itu sahaja. Selepas itu, kartel akan datang ambil semua ayam,” ujarnya.

Menurut laporan Samudera.my, sebelum ini ada sumber mengatakan bahawa terdapat sekumpulan kartel industri ternakan ayam yang merancang untuk menutup ladang ternakan mereka pada Sabtu dan Ahad sebagai tanda protes berikutan keterlewatan pihak Kerajaan membayar subsidi harga ayam sebanyak 60 sen.

Perkara itu menimbulkan kebimbangan apabila ia akan mengakibatkan kenaikan harga barang selain pengguna akan berebut untuk mendapatkan bekalan mentah tersebut.

Berikutan itu, sumber tersebut menggesa agar pihak kerajaan menubuhkan lembaga khas supaya industri ayam dan unggas ini dapat dikawal selia dan isu berkaitannya tidak terus tenggelam timbul.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: